OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI
Apabila
tibanya bulan Rabiul Awwal terutama 12 Rabiul Awwal, kebanyakan negara
Islam dan umatnya akan menyambut perayaan yang mereka warp-warkan
sebagai lambang kecintaan mereka kepada Rasul mereka, Muhammad s.a.w
iaitulah perayaan Maulid Nabi atau Kelahiran Rasulullah s.a.w.
Pada
hari tersebut ramailah manusia yang bernama muslim akan berarak,
berselawat, bahkan ada yang menyanyi dan menari dengan nama cinta kepada
Rasulullah s.a.w.
Namun,
apakah erti sebenarnya cinta kepada Rasulullah s.a.w? Bagaimanakah pula
hukumnya mereka yang tidak menyambut maulid ini?Adakah mereka kafir
atau fasiq kerana tidak cinta kepada Rasulullah s.a.w ? Maka dalam
rangka merungkai persoalan ini kita perlu memahami beberapa perkara
berikut:
Pertama: Cinta Rasulullah s.a.w adalah Iman
Sabda Rasulullah s.a.w:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ مَالِهِ وَأَهْلِهِ ، وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Maksudnya: “Tidak
(sempurna) Iman seseorang kamu sehinggalah aku menjadi orang yang
paling dia cintai melebihi hartanya, keluarganya, dan manusia lain
sekaliannya”. [al-Bukhari & Muslim].
Oleh
itu, kecintaan kepada Rasulullah s.a.w bukanlah perkara yang boleh
dimain-mainkan tetapi perlu direalisasikan dengan benar dalam hati dan
dizahirkan melalui anggota.
Kecintaan
kepada Rasulullah s.a.w sebagaimana yang dinyatakan para Ulama ada
cinta ikhtiari yang diusahakan oleh seorang mukmin melalui mengikut
jejak langkah dan sunnah baginda bukan semata-mata cinta tabii kerana
jika dapat lihat bagaimana Abu Talib, antara manusia yang sangat
cintakan Rasulullah s.a.w namun dia termasuk ahli neraka. Kenapa? Kerana
dia hanya cintakan Rasulullah s.a.w sebagai anak saudaranya dan
keluarganya bukan sebagai Rasul (utusan) daripada Allah dan mengikut
ajarannya.
Kedua: Cinta Nabi itu Ibadah dan Sahabat adalah Ikutan Terbaik Padanya
Apabila
kita telah memahami cinta Nabi itu Iman dan bukan sekadar cinta tabii,
maka kita dengan sendirinya faham cinta Nabi itu Ibadah khusus yang
diberi ganjaran pahala padanya dan syarak telah menentukan caranya.
Kita
perlu juga faham, dalam melaksanakan ibadah, para Sahabat adalah
golongan yang paling layak untuk diikuti atas sabda Nabi s.a.w:
خَيْرُ
النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ
يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِيءُ أَقْوَامٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ
يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ
Maksudnya: “Sebaik-baik
manusia adalah (yang hidup) dalam kurunku, kemudian yang datang selepas
mereka, kemudian yang datang selepas mereka, kemudian akan ada kaum
yang kesaksian mereka mendahului sumpah mereka, dan sumpah mereka
mendahului kesaksian mereka”. [al-Bukhari & Muslim].
Ulama
Hadis menyatakan yang dimaksudkan dengan kurun Nabi s.a.w adalah para
Sahabat baginda, kemudian yang mengikut mereka adalah Tabiin dan
kemudian Tabi Tabiin dan tiga kurun ini dikenali sebagai al-Salaf
al-Soleh (Para Pendahulu Yang Baik) sebagaimana dalam riwayat yang lain
Nabi s.a.w bersabda:
يَأْتِي
زَمَانٌ يَغْزُو فِئَامٌ مِنْ النَّاسِ فَيُقَالُ فِيكُمْ مَنْ صَحِبَ
النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيُقَالُ نَعَمْ فَيُفْتَحُ
عَلَيْهِ ثُمَّ يَأْتِي زَمَانٌ فَيُقَالُ فِيكُمْ مَنْ صَحِبَ أَصْحَابَ
النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيُقَالُ نَعَمْ فَيُفْتَحُ
ثُمَّ يَأْتِي زَمَانٌ فَيُقَالُ فِيكُمْ مَنْ صَحِبَ صَاحِبَ أَصْحَابِ
النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيُقَالُ نَعَمْ فَيُفْتَحُ
Maksudnya: “Akan
datang zaman di mana satu kelompok (tentera) berjihad lalu dikatakan
kepada mereka: ‘Adakah antara kamu orang yang bersahabat dengan Nabi
s.a.w?’ Maka dijawab: Ya; maka diberi kemenangan kepada mereka. Kemudian
datang pula zaman di mana (mereka berjihad) lalu dikatakan: ‘Adakah
dalam kalangan kamu orang bersahabat dengan sahbat Nabi s.a.w?’ dijawab:
Ada. Maka diberi kemenangan kepada mereka. Kemudian datang pula zaman
dikatakan kepada mereka: ‘Adakah dalam kalangan kamu orang bersahabat
dengan sahabat kepada sahabat Nabi s.a.w?’ maka dijawab: Ada. Maka
diberi mereka kemenangan”. [al-Bukhari & Muslim].
Kita diwajibkan untuk mengikut jejak langkah mereka sebagaimana sabda Nabi s.a.w:
وتفترق أمتي على ثلاث وسبعين ملة كلهم في النار إلا ملة واحدة قالوا ومن هي يا رسول الله قال ما أنا عليه وأصحابي
Maksudnya: “Umatku
akan berpecah kepada 73 golongan yang semuanya dalam neraka kecuali
satu”. Sahabat bertanya: “Siapakah mereka (yang satu terselamat)?” Jawab
baginda: “Golongan yang mengikut aku dan para Sahabatku”. [al-Tarmizi, hasan].
Disebabkan
Sahabat adalah manusia yang sangat cintakan Nabi s.a.w maka segala
tindakan Sahabat adalah lambang kecintaan yang paling sempurna terhadap
Rasulullah s.a.w kemudian diikuti Tabiin kemudian Tabi Tabiin.
Amalan
yang ikhlas namun tidak terdapat contoh daripada tiga kurun ini dalam
urusan akidah dan ibadah serta hukum hakam dianggap bukanlah amalan yang
benar dan tidak diterima syariat. Analogi mudahnya, seorang yang sangat
rajin beribadah dan mengharap pahala berganda daripada Allah s.w.t lalu
dia melakukan solat subuh 4 rakaat dengan sengaja, maka dengan ijmak
umat solatnya batal dan tidak sah. Keikhlasan yang ada padanya tidak
cukup menjadi alasan untuk dia menambah atau mengurang apa yang telah
Allah s.w.t tetapkan.
Ketiga: Sikap Ghuluw Adalah Dilarang
Ghuluw
atau melampau dalam melakukan sesuatu urusan agama sehingga terkeluar
daripada landasan syariat adalah dilarang. Emosi dan perasaan tidak
menjadi salah satu sumber agama Islam. Sebab itu kita jelaskan cinta
kepada Rasulullah s.a.w bukanlah cinta emosi seperti anak yang cintakan
ibunya atau suami yang cintakan isterinya tetapi ia adalah cinta yang
diusahakan menurut lunas-lunas syarak.
Sabda Rasulullah s.a.w:
لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ
Maksudnya: “Janganlah
kamu mengagung-agungkan aku seperti mana kaum Nasrani
mengagung-agungkan Ibn Maryam (Nabi Isa a.s), sesungguhnya aku adalah
hambaNya maka katalah: Hamba Allah dan RasulNya”. [al-Bukhari & Ahmad].
Maka
perbuatan kaum Nasrani yang menjadikan Isa a.s sebagai salah satu Unsur
Tuhan bukanlah mereka lakukan kerana benci kepada Isa a.s tetapi kerana
terlalu sayangkan baginda namun perbuatan melampau mereka ini
menjadikan mereka musyrik dan kafir-nauzubillah min zalik- maka kita
dilarang bersikap ghuluw atau melampau dalam mencintai Rasulullah s.a.w
sehingga kita melakukan perkara yang pada emosi kita adalah tanda cinta
kita kepada Rasulullah s.a.w tetapi pada pandangan Allah s.w.t dan
Rasulullah s.a.w sebagai terkeluar daripada batas syariat.
Antara contoh sikap melampau umat terdahulu yang dilarang syarak sebagaimana firman Allah s.w.t:
ثُمَّ
قَفَّيْنَا عَلَى آثَارِهِمْ بِرُسُلِنَا وَقَفَّيْنَا بِعِيسَى ابْنِ
مَرْيَمَ وَآتَيْنَاهُ الْإِنْجِيلَ وَجَعَلْنَا فِي قُلُوبِ الَّذِينَ
اتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا
كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلَّا ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللَّهِ فَمَا
رَعَوْهَا حَقَّ رِعَايَتِهَا فَآتَيْنَا الَّذِينَ آمَنُوا مِنْهُمْ
أَجْرَهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ
Maksudnya: “kemudian
Kami iringi sesudah – mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami
iringi lagi dengan Nabi Isa Ibni Maryam, serta Kami berikan kepadanya:
Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya
perasaan belas kasihan (sesama sendiri). dan (perbuatan mereka beribadat
secara) “Rahbaniyyah” merekalah sahaja yang mengadakan dan
mereka-rekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (Mereka berbuat
demikian) kerana mencari keredaan Allah; Dalam pada itu mereka tidak
menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. oleh itu, orang-orang
yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, Kami berikan
pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik –
derhaka”. [al-Hadid: 27].
Dalam
ayat ini, Allah s.w.t menerangkan kepada kita sistem Rahib atau Paderi
yang diadakan dalam agama Nasrani bukanlah berasal daripada syariat Nabi
Isa a.s tetapi bidaah atau rekaan pengikut selepas baginda atas emosi
mereka yang terlalu cintakan Allah s.w.t dan ingin beribadat, namun
akhirnya kerana ibadat tersebut bukanlah daripada Allah s.w.t maka
mereka gagal mengikut sistem ciptaan mereka sendiri dan menyalah
gunakannya.
Imam Ibn Kasir r.h menyatakan Allah s.w.t mencela kaum Nasrani dalam ayat ini atas dua perkara:
Pertama: Mereka membuat rekaan dan ciptaan dalam urusan ibadat
Kedua: Mereka menyalahgunakan bidaah tersebut yang pada asalnya menurut dakwaan mereka untuk beribadah kepada Allah s.w.t. [Ibn Kasir, 8/29].
Keempat: Apa Yang Nabi s.a.w Tinggalkan Adalah Sunnah Juga Ditinggalkan
Perkara
yang perlu kita ketahui juga, sunnah bukan sahaja berlaku dalam perkara
yang Nabi s.a.w lakukan, bahkan apa yang baginda dan para Sahabat r.a
tinggalkan. Dalam Usul Fiqah dinyatakan:
ترك النبي صلى الله عليه وسلم لفعل ما مع وجود المقتضي له وانتفاء المانع يدل على أن ترك ذلك الفعل سنة وفعله بدعة
Maksudnya: “Perbuatan
Nabi s.a.w meninggalkan sesuatu perbuatan dalam keadaan wujudnya
keperluan terhadap perkara tersebut dan tiadanya halangan menunjukkan
meninggalkan perbuatan tersebut adalah sunnah dan melakukannya adalah
bidaah”. [Min Usul al-Fiqh Inda Ahli al-Hadis, 1/82].
Maka,
perbuatan yang ada keperluan di zaman Nabi s.a.w seperti azan untuk
solat hari raya misalnya ada keperluan untuk dilakukan bagi menyeru
manusia ke musolla dan tiada pula yang mengahalang Nabi s.a.w
melakukannya namun Nabi s.a.w tidak melakukannya maka difahami azan
untuk solat eid tidak disyariatkan bahkan melakukannya adalah dilarang
oleh sebab Ulama telah ijmak tidak disyariatkan azan untuk solat eid dan
meninggalkan azan sewaktu solat eid itu adalah sunnah yang disebut
sebagai Sunnah Tarkiyah.
Perbuatan
yang Nabi s.a.w tinggalkan kerana tiada keperluan di zaman baginda
seperti mengumpul al-Qur’an dalam mushaf atau kerana ada halangan
seperti solat terawih berjemaah kerana ditakuti diwajibkan oleh Allah
s.w.t lalu umat akhir zaman akan lemah melakukannya, maka perbuatan ini
apabila wujud keperluan selepas zaman baginda atau hilang penghalangnya
maka boleh dilakukan dan tidak menjadi bidaah.
Kelima: Perayaan Adalah Tauqifi dan Dilarang Tasyabuh
Perayaan dalam Islam adalah terhad kepada apa yang dinaskan oleh syarak sebagaimana dalam hadis:
عن
أنس قال قدم رسول الله صلى الله عليه و سلم المدينة ولهم يومان يلعبون
فيهما فقال ” ما هذان اليومان ” ؟ قالوا كنا نلعب فيهما في الجاهلية فقال
رسول الله صلى الله عليه و سلم ” إن الله قد أبدلكم بهما خيرا منهما يوم
الأضحى ويوم الفطر “
Maksudnya: Daripada Anas
bin Malik r.a katanya: ‘Rasulullah s.a.w tiba di Madinah dan bagi
penduduknya mempunyai dua hari yang mereka berlibur (bersuka ria)
padanya’. Sabda Nabi s.a.w: “Apakah dua hari ini?” Jawab mereka: ‘Adalah
kami di zaman Jahiliah bersuka ria padanya’. Maka sabda Rasulullah
s.a.w: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan dua hari
yang lebih baik iaitu perayaan al-Adha (Korban) dan al-Fitri (Raya
Puasa)”. [Abu Daud, Ahmad].
Hadis
ini menunjukkan bahawa perayaan dalam Islam adalah hak syariat, tidak
boleh seseorang menjadikan apa-apa hari sebagai sambutan yang
berulang-ulang terhadap sesuatu perkara melainkan ada nas syarak dan
syarak pula telah menghadkan perayaan itu kepada dua sahaja dalam
setahun iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Puasa.
Demikian juga Nabi s.a.w melarang kita meniru gaya hidup kaum kafir sama ada ibadat mahupun adat. Sabda Nabi s.a.w:
من تشبه بقوم فهو منهم
Maksudnya: “Sesiapa yang meniru sesuatu kaum maka dia termasuk kaum tersebut”. [Abu Daud, Jayyid].
Para
Ulama telah ijmak dilarang kaum muslimin meniru gaya hidup kaum kafir
dan terutama dalam perayaan mereka. Sebagaimana kami jelaskan dalam
risalah sebelum ini, dilarang keras kita menyertai kaum kafir dalam
perayaan mereka walaupun sekadar mengucap selamat.
Kedudukan Maulid Nabi s.a.w:
Apabila
kita melihat kepada kaedah-kaedah yang kita nyatakan di atas, maka kita
dapati perayaan Maulid Nabi s.a.w adalah dilarang dalam syariat dan
bukanlah lambang kecintaan kepada Nabi s.a.w yang sebenar. Ini
kerana Maulid Nabi s.a.w bukanlah berasal daripada Umat Islam tetapi
ciptaan kaum Ismailiah yang menjajah Mesir suatu ketika dahulu yang
dikenali juga sebagai kerajaan Fatimiah. Ulama telah bersepakat Syiah
Ismailiah terkeluar daripada Islam yakni kafir.
Demikian
juga perayaan Maulid Nabi s.a.w merupakan penambahan terhadap perayaan
yang telah ditetapkan dan ini termasuk ghuluw dalam ibadah kerana mereka
cipta perayaan tanpa nas yang jelas.
Dakwaan
bahawa menyambut perayaan Maulid sebagai tanda kecintaan kepada Nabi
s.a.w adalah batil kerana ciri-ciri syar’i cinta kepada Rasulullah s.a.w
itu adalah mengikut sunnah baginda bukan menambah dan mereka cipta
ibadah yang tidak ada asal daripada syariat. Sabda Nabi s.a.w:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: “Sesiapa yang mencipta perkara baharu dalam urusan (agama) kami yang tidak ada asal daripadanya maka amalan itu tertolak”. [al-Bukhari & Muslim].
Oleh
itu, ketahuilah bahawa kami, Ahli Sunnah wal Jamaah yang menolak amalan
sambutan Maulid Rasulullah s.a.w ini adalah kerana kami terlalu
cintakan baginda dan sunnah baginda bukanlah kerana kami benci atau
tidak suka tetapi memang kami terlalu benci terhadap amalan yang
menyalahi sunnah baginda dan al-Salaf al-Soleh. Wallahua’lam.
link asal : http://mashoori.wordpress.com/2009/02/14/kerana-cintaaku-tolak-maulid/
