Daripada Imam 'Asim bin Sulaiman al-Ahwal r.h [w.142 H] beliau berkata:
جلست إِلَى قتادة فذكر عَمْرو بْن عُبَيد فوقع فيه ونال منه فقلت أبا الخطاب ألا أرى العلماء يقع بعضهم فِي بعض
"Aku duduk bersama Qatadah (ibn Di'amah al-Sadusi, w.118 H) maka beliau menyebut berkenaan 'Amru bin 'Ubaid (ibn Bab –salah seorang pengasas ajaran Muktazilah, w.143 H) lalu beliau (Qatadah) mencelanya ('Amru) dan mengutuknya. Maka aku ('Asim) berkata: "Wahai Abul Khattab (yakni: Qatadah), aku melihat tidak sepatutnya para Ulama' saling cela mencela sesama mereka!!".
Maka kata beliau (Qatadah) r.h:
يا أحول أولا تدري أن الرجل إذا ابتدع بدعة ينبغي لها أن تذكر حتى يحذر
"Wahai si Juling (Ahwal), apakah kamu tidak tahu bahawa seseorang itu jika dia melakukan bidaah maka hendaklah ianya disebut (dikritik) sehingga dia dijauhi".
[Sumber: al-Kamil li al-Dhu'afaa oleh Ibn 'Adi, 6/175, Mizan al-I'tidal oleh Al-Zahabi, 3/273]
Catatan:
*Mereka yang menyeru kepada bidaah perlu ditahzir dan dicegah orang-ramai daripada mengambil ilmu daripadanya walaupun dia seorang Ahli Ilmu dan Ibadah. 'Amru bin 'Ubaid bin Bab merupakan bekas murid Imam al-Hasan bin Abil Hasan al-Basri r.h [w.110 H] dan merupakan seorang Ahli Zuhud dan 'Ibadah sehingga dipuji oleh Khalifah Abu Jaafar al-Mansur r.h (Khalifah 'Abbasiah yang kedua) kerana sikap kezuhudannya, namun kata al-Zahabi r.h:
"Beliau (Abu Jaafar) tertipu dengan kezuhudannya dan keikhlasannya namun melupakan Bidaah yang dilakukannya". [Al-Siyar, 6/105].
Demikian sikap para Ulama' al-Salaf rahimahumullah di mana mereka sangat tegas dengan Ahli Bidaah dan tidak bermudah-mudah dengan mereka walaupun pada pandangan awam mereka ini Ahli 'Ilmu dan Ahli Ibadah atau sebagainya.
Ingatlah kata-kata Ulama' besar Ahlus Sunnah wal Jamaah, Imam Abu Muhammad Hasan al-Barbahari r.h [w. 329 H] dalam kitab beliau yang sangat berharga:
ومن خالف الكتاب والسنة فهو صاحب بدعة، وإن كان كثير العلم والكتب
Maksudnya: "dan barangsiapa yang menyelisihi al-Kitab dan al-Sunnah maka dia adalah Ahli Bidaah walaupun dia memiliki Ilmu dan Kitab yang banyak".
Maka, ikutilah jejak langkah Salafus Soleh kerana pada mereka itu terdapat kebaikan yang sebenarnya. Wallahul Muwaffiq.
Ditulis oleh;
Muhammad Asrie bin Sobri
Kuliah Dakwah dan Usuluddin, Uni. Islam Madinah Nabawiah.
24 Safar 1433 H.