Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri
Universiti Islam Madinah Nabawiah, Arab Saudi
Ucapan Syahadah yang diucapkan seorang muslim mengandungi
ikrar dan pengakuan terhadap ketunggalan ALLAH s.w.t sebagai ILAH yakni
yang berhak disembah dan ditaati dengan sepenuh kecintaan, pengharapan,
ketakutan, ketundukan, dan kepatuhan.
Demikian pula Syahadah bahawa Muhammad adalah Rasul ALLAH
membawa maksud segala hukum hakam dan Syariat daripada ALLAH s.w.t
adalah apa yang disampaikan dan diajarkan oleh Muhammad Rasul (Utusan)
ALLAH s.w.t, tiada yang berhak diikuti dan ditaati secara mutlak dalam
kalangan makhluk kecuali Rasulullah s.a.w kerana baginda adalah Utusan
daripada ALLAH yang tidak bercakap melainkan dengan wahyu daripada
ALLAH.
Kelaziman dan di antara kandungan Tauhid al-Uluhiah
(mengesakan ALLAH dalam Ibadat) adalah mentaati ALLAH s.w.t dan tidak
menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun daripada makhluk-Nya dalam ketaatan
dan tidak mengambil selain ALLAH s.w.t sebagai pembuat hukum dan
undang-undang.
Dalil kewajipan mentauhidkan ALLAH s.w.t dalam Tasyri’
(membuat hukum) adalah banyak sekali daripada al-Quran dan al-Sunnah di
antaranya:
Dalil Pertama:
Firman ALLAH s.w.t dalam Surah Ali Imran ayat ke-32:
قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Rasul): Taatlah kamu
kepada ALLAH dan Rasul-Nya, maka barangsiapa yang berpaling (enggan
mentaati ALLAH dan Rasul-Nya) maka sesungguhnya ALLAH tidak mencintai
orang-orang yang kafir”.
Kata Imam Abdul Rahman bin Nasir al-Sa’di r.h [w.1376 H] dalam Tafsir beliau:
“Ini adalah perintah ALLAH kepada para hamba-Nya dengan
perintah yang paling umum iaitulah supaya mentaati (mematuhi)-Nya dan
Rasul-Nya yang mana termasuk dalamnya Iman dan Tauhid dan apa yang
merupakan cabang-cabangnya daripada amalan-amalan dan
perkataan-perkataan yang zahir dan batin bahkan termasuk (dalam erti
kata) mentaati-Nya dan mentaati Rasul-Nya adalah menjauhi apa yang
dilarang kerana menjauhi perkara yang dilarang sebagai satu kepatuhan
kepada perintah ALLAH merupakan ketaatan kepada-Nya maka barangsiapa
yang mentaati ALLAH dan RasulNya maka mereka itulah orang-orang yang
berjaya. [Maka barangsiapa yang berpaling] yakni: berpaling daripada
mentaati ALLAH dan Rasul-Nya maka tiada lagi di sana untuk dirujuk
keadaannya melainkan sebagai suatu kekufuran dan mentaati Syaitan yang
derhaka.” [Taisir al-Karim al-Mannan, m.s 128].
Dalil Kedua:
Firman ALLAH s.w.t dalam Surah al-Nisaa’ ayat ke-59:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ
وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ
فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ
تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ
تَأْوِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah
(patuhlah) kepada ALLAH dan patuhlah kepada Rasul serta orang-orang
yang berkuasa dalam kalangan kamu, jika kamu berselisih pandangan dalam
suatu perkara maka kembalikanlah kepada ALLAH dan Rasul-Nya jika benar
kamu beriman dengan ALLAH dan Hari Akhirat demikian itu adalah
sebaik-baik penyelesaian”.
Para Mufassirun (Ulama’ Tafsir al-Quran) menyatakan dalam
ayat ini ALLAH mengulang perintah: (Taatlah) pada Rasul tetapi tidak
pada Ulil Amri (pemerintah dan ulama’) kerana ketaatan kepada Pemerintah
dan Ulama’ tidaklah mutlak tetapi bersyarat iaitu selagi mana perintah
mereka tidak berlawanan dengan perintah ALLAH dan Rasul, adapun ketaatan
kepada Rasul adalah mutlak kerana baginda tidak memerintahkan sesuatu
melainkan ianya adalah Wahyu daripada ALLAH sebagaimana ALLAH berfirman:
وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى (4)
Maksudnya: “Dan tidaklah dia (Rasulullah s.a.w) berkata-kata berdasarkan hawa nafsu tetapi ia adalah Wahyu yang diwahyukan kepadanya”. [Al-Najm: 3-4].
Sabda Rasulullah s.a.w :
عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ الطَّاعَةُ، فِيمَا أَحَبَّ أَوْ
كَرِهَ، إِلَّا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ،
فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ
Maksudnya: “Wajib atas setiap muslim itu mentaati
(pemerintah) dalam perkara yang dia sukai dan yang dibenci melainkan
jika dia diperintahkan untuk melakukan maksiat maka jika dia
diperintahkan dengan kemaksiatan maka tidak boleh dia dengar dan tidak
boleh dia taati (dalam perkara maksiat itu)”. [HR Ashab al-Sunan dan Ahmad].
Dalil Ketiga:
Firman ALLAH s.w.t dalam Surah al-Ahzab ayat ke-36:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ
وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ
وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا
Maksudnya: “dan tidaklah patut bagi seorang mukmin
dan tidak pula bagi seorang mukminah jika ALLAH dan Rasul-Nya telah
menetapkan suatu keputusan lalu mereka mempunyai pilihan (selain dari
hukum ALLAH dan Rasul) dalam urusan mereka, barangsiapa yang menderhaka
kepada ALLAH dan Rasul-Nya maka dia telah sesat dengan kesesatan yang
nyata”.
Kata al-Hafiz Ibn Katsir r.h [w.774 H] dalam Tafsir beliau:
“Maka ayat ini adalah umum dalam semua urusan, iaitu
apabila ALLAH dan RasulNya telah memutuskan suatu hukum maka tiada lagi
hak bagi sesiapa pun menyelisihinya dan tiada lagi pilihan lain, tiada
lagi pendapat dan perkataan (selainnya)”. [Tafsir al-Quran al-Azim, 6/423]
Demikian juga terdapat ayat-ayat yang mencela perbuatan
mengambil hukum dan menjadikan hukum makhluk mendahului hukum ALLAH dan
Rasul-Nya serta ALLAH menamakan mereka yang melakukan perkara ini
sebagai Syirik:
Pertama: Firman ALLAH dalam Surah al-Nisaa’ ayat 60-61:
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا
بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ
يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ
وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا (60) وَإِذَا
قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ
رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودًا (61)
Maksudnya: “Apakah kamu tidak melihat kepada mereka
yang menyangka mereka itu beriman dengan apa yang diturunkan kepada
kamu (wahai Rasul) dan apa yang diturunkan sebelum kamu lalu mereka
hendak berhukum kepada para Thaghut sedangkan mereka diperintahkan
supaya kufur dengannya, dan syaitan mengekehendaki untuk menyesatkan
mereka dengan kesesatan yang jauh. Dan apabila diseru kepada mereka
datanglah kemari (berhukum) dengan apa yang ALLAH telah turunkan kepada
Rasul maka engkau melihat kaum Munafiq itu berpaling daripada engkau
dengan sepenuh palingan”.
Kata Al-Hafiz Ibn Katsir r.h:
“Ini adalah pengingkaran ALLAH Azza wa jalla atas
mereka yang mendakwa beriman dengan apa yang ALLAH turunkan kepada
Rasul-Nya dan kepada Nabi-nabi terdahulu lalu mereka hendak berhukum
dalam menyelesaikan pertelingkahan mereka kepada selain Kitab ALLAH dan
Sunnah Rasul-Nya …”
Kemudian beliau menyatakan Sebab Turunnya ayat berkenaan
kaum munafiqin yang hendak berhukum kepada Ka’ab al-Asyraf (ketua
Yahudi) dan enggan berhukum kepada Rasulullah s.a.w atau hendak berhukum
kepada hukum Jahiliah. Lalu kata beliau:
“dan ini lebih umum daripada itu semua, sesungguhnya ia
adalah celaan kepada sesiapa sahaja yang berpaling daripada Al-Kitab
dan al-Sunnah kepada selain keduanya daripada kebatilan dan itulah
(hukum-hakam selain daripada al-Quran dan al-Sunnah) yang dimaksudkan
sebagai Thaghut dalam ayat ini”. [2/346]
Kedua: Firman ALLAH Ta’ala dalam surah al-Taubah ayat ke-31:
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ
دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا
لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا
يُشْرِكُونَ
Maksudnya: “Mereka mengambil Ulama-Ulama’ mereka
dan Ahli Ibadat mereka sebagai Tuhan-tuhan selain ALLAH demikian juga
mereka menjadikan al-Masih anak Maryam (sebagai Tuhan selain ALLAH)
sedangkan mereka tidak diperintahkan melainkan hanya untuk beribadat
kepada Ilah (sembahan) yang satu, Tiada sembahan yang berhak disembah
selain Dia Maha Suci Dia daripada apa yang mereka sekutukan”.
Perbuatan kaum Yahudi dan Nasrani menyembah Ulama-ulama
mereka dan Ahli Ibadat ditafsirkan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis
berikut:
عن عدي بن حاتم قال: أتيت رسولَ الله صلى الله عليه وسلم وفي
عُنُقي صليبٌ من ذهب، فقال: يا عديّ، اطرح هذا الوثنَ من عنقك! قال:
فطرحته، وانتهيت إليه وهو يقرأ في “سورة براءة”، فقرأ هذه الآية: (اتخذوا
أحبارهم ورُهبانهم أربابًا من دون الله) ، قال قلت: يا رسول الله، إنا لسنا
نعبدُهم! فقال: أليس يحرِّمون ما أحلَّ الله فتحرِّمونه، ويحلُّون ما
حرَّم الله فتحلُّونه؟ قال: قلت: بلى! قال: فتلك عبادتهم
Maksudnya: Daripada ‘Adi bin Hatim r.a kata beliau:
“Aku datang kepada Rasulullah s.a.w (untuk memeluk Islam) sedangkan di
leherku ada Salib daripada emas seraya baginda bersabda: “Wahai ‘Adi,
buanglah berhala ini daripada lehermu”. Kata Adi: Maka aku membuangnya.
Aku mendekat kepada baginda sedangkan baginda membaca Surah al-Bara-ah
lalu baginda membaca ayat ini [Ayat ke-31]. Kata ‘Adi: Aku berkata:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami tidak lah menyembah mereka”. Lantas
kata baginda: “Bukankah mereka mengharamkan apa yang ALLAH halalkan
lalu kamu turut mengharamkannya, mereka menghalalkan apa yang ALLAH
haramkan lalu kamu turut menghalalkannya?” Kata ‘Adi: Jawabku: Bahkan
(demikianlah yang kami lakukan). Sabda baginda s.a.w: “Itulah bentuk
peribadatan terhadap mereka”. [HR al-Tarmizi, al-Tabrani, dll].
Telah sepakat pula Ulama’ Tafsir keseluruhannya bahawa yang
dimaksudkan dengan peribadatan terhadap Ulama’ dan Ahli Ibadat dalam
ayat ini adalah perbuatan memberikan mereka hak Tasyri’ dalam
menghalalkan dan mengharamkan dan mentaati mereka dalam perkara maksiat.
[Rujuk: Tafsir Ibn Abi Hatim, 6/1784].
Kata Saidina Abdullah bin Abbas r.huma:
إِنَّهُمُ اتَّبَعُوهُمْ فِيمَا حَلَّلُوا وَحَرَّمُوا
Maksudnya: “Sesungguhnya mereka mengikut mereka (Ulama’ dan Ahli Ibadat) dalam apa sahaja yang mereka halalkan dan haramkan”. [Tafsir al-Quran al-Azim, Ibn Katsir, 4/135].
Demikian juga tsabit riwayat daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a apabila ditanya berkenaan ayat ini beliau berkata:
“Adapun mereka sesungguhnya tidaklah berpuasa untuk
mereka dan tidak pula solat untuk mereka tetapi adalah mereka itu
apabila mereka (para Ulama’) menghalalkan kepada mereka sesuatu lalu
mereka menghalalkannya, dan jika mereka mengharamkannya atas mereka
sesuatu maka mereka mengharamkannya, maka itulah dia yang dikatakan
menjadikan mereka sebagai sembahan”. [Al-Tabari, 14/211]
Ketiga: Firman ALLAH s.w.t dalam surah alFurqan ayat ke-43:
أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا
Maksudnya: “Apakah kamu tidak melihat orang yang
menjadikan sembahannya adalah hawa nafsunya, apakah kamu (wahai Rasul)
boleh menjadi pengawalnya (daripada bertindak bodoh seperti itu)?”
ALLAH s.w.t mencela mereka yang menjadikan akal dan hawa
nafsu sebagai penentu agamanya dan dalam membuat hukum tanpa merujuk
kepada Kitab ALLAH dan Sunnah RAsulullah s.a.w. Kata Imam Ibn Katsir
r.h:
أَيْ: مَهْمَا اسْتَحْسَنَ مِنْ شَيْءٍ وَرَآهُ حَسَنًا فِي هَوَى نَفْسِهِ، كَانَ دينَه ومذهبَه
Maksudnya: “Yakni: Apa sahaja yang dia rasakan baik
dan Nampak elok pada hawa nafsunya maka itulah yang menjadi agama dan
mazhab pegangannya”. [6/113]
Ayat-ayat celaan ini menunjukkan bahawa perbuatan
menjadikan selain ALLAH dan Rasul s.a.w sebagai pembuat hukum dan
mengikut hukum selain daripada apa yang ALLAH dan Rasul-Nya sudah
tetapkan adalah Maksiat dan boleh membawa pelakunya kepada Syirik.
Namun, keadaan Umat Islam hari ini menzahirkan bahawa
mereka semakin jauh daripada hukum ALLAH dan Rasul-Nya, mereka
menjadikan makhluk-makhluk sebagai sumber hukum dan meninggalkan Wahyu
ALLAH di belakang dan hal ini dapat kita lihat dalam beberapa fenomena
berikut:
Pertama: Taklid Buta dan Fanatik Mazhab
Sikap Taklid Buta dan Fanatik Mazhab walaupun mazhabnya itu
berlawanan dengan nas wahyu yang sahih lagi sarih jelas menepati
cirri-ciri kaum Yahudi dan Nasrani yang ALLAH cela dalam ayat ke-31
Surah al-Taubah (al-Bara-ah), mereka menghalalkan apa yang ALLAH dan
RasulNya haramkan kerana ada qaul atau mazhab Ulama’ tertentu, mereka
mensyariatkan amalan-amalan yang bukan Syariat kerana Ulama’ sekian,
‘Alim sekian, tok guru sekian berkata ianya harus atau sunat atau wajib
atau lainnya.
Para Ulama’ kaum Muslimin telah bersepakat bahawa Taklid
secara membuta tuli dan Taksub kepada pendapat Mazhab yang jelas
berlawanan dengan dalil adalah tercela dan haram sebagaimana kata Imam
al-Syafii r.h:
أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى أَنَّ مَنْ اسْتَبَانَتْ لَهُ
سُنَّةُ رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – لَمْ
يَكُنْ لَهُ أَنْ يَدَعَهَا لِقَوْلِ أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ
Maksudnya: “Kaum Muslimin telah bersepakat bahawa
wajib atas sesiapa yang jelas baginya Sunnah Rasulullah s.a.w maka tidak
boleh baginya untuk meninggalkannya kerana perkataan sesiapa pun
daripada manusia lain”. [I'lam al-Muwaqqi'ien, Ibn al-Qayyim, 1/6].
Adapun perkataan Ulama’ : “Tidak ada pengingkaran dalam Masalah ijtihad”
maka ini adalah khusus dalam masalah-masalah yang dibina atas ijtihad
yang tiada padanya nas yang muktamad lagi sahih dan jelas, adapun
apabila telah jelas dalil maka wajib mengikut dalil dan haram mengikut
pendapat Ulama’.
Kata Imam al-Auz’ie r.h [w.157 H]:
مَنْ أَخَذَ بِنَوَادِرِ الْعُلَمَاءِ خَرَجَ مِنَ الْإِسْلَامِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengambil pendapat-pendapat Ulama’ yang nadir (janggal) maka dia telah terkeluar daripada Islam”. [Atsar dikeluarkan oleh: Al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, no.20918].
قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: ” وَيْلٌ لِلْأَتْبَاعِ مِنْ زَلَّةِ
الْعَالِمِ، قِيلَ: وَكَيْفَ ذَلِكَ؟ قَالَ: يَقُولُ الْعَالِمُ الشَّيْءَ
بِرَأْيِهِ فَيَلْقَى مَنْ هُوَ أَعْلَمُ مِنْهُ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْهُ فَيُخْبِرُهُ وَيرْجِعُ، وَيَقْضِي
الْأَتْبَاعُ بِمَا حَكَمَ “
Maksudnya: Berkata Ibn ‘Abbas r.huma:
“Kecelakaanlah bagi para pengikut dek kerana kesilapan orang ‘alim”.
Dikatakan kepada beliau: “Bagaimanakah itu (boleh berlaku)?” Kata
beliau: “Seorang ‘alim berpendapat dalam suatu masalah dengan pandangan
(ijtihad)nya lalu dia bertemu dengan orang yang lebih berilmu
daripadanya dengan (Sunnah) Rasulullah s.a.w lalu dia memberitahu kepada
(alim itu) lalu dia (alim itu) kembali menarik pendapatnya (yang
menyelisihi Sunnah) tetapi para pengikut terus berhukum dengan hukum
yang terdahulu (yang menyelisihi Sunnah)”. [Al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, no.836].
عَنْ زِيَادِ بْنِ جُبَيْرٍ، قَالَ: قَالَ عُمَرُ: «هَلْ
تَدْرِي مَا يَهْدِمُ الإِسْلامَ؟» قُلْتُ: لَا، قَالَ: «يَهْدِمُهُ
زَلَّةُ الْعَالِمِ، وَجِدَالُ الْمُنَافِقِ بِالْكِتَابِ، وَحُكْمُ
الأَئِمَّةِ الْمُضِلِّينَ»
Maksudnya: Daripada Ziyad bin Jubair r.h kata
beliau: Berkata Umar r.a: “Adakah kamu tahu apakah yang akan merosakkan
Islam?” Kataku: Tidak. Kata beliau: “Akan merosakkannya kegelinciran
‘alim, Jidal (perdebatan) kaum Munafiq dengan (menjadikan dalilnya)
adalah al-Kitab (al-Quran), dan hukum yang dikeluarkan oleh Imam-imam
(tokoh-tokoh ikutan) yang menyesatkan”. [Syarhus Sunnah, al-Baghawi, 1/317].
Maka pada dewasa ini, kita dapat menyaksikan berapa ramai
Umat Islam yang terus taksub dan fanatik dengan Akidah al-Asya’irah
sedangkan Akidah itu sendiri telah diakui berlawanan dengan pegangan
Imam yang mereka sangka mereka ikuti iaitu: Imam Abul Hasan al-Asy’ari
r.h, bahkan tokoh-tokoh terkemudian al-Asya’irah sendiri ramai yang
menyatakan penyesalan mereka dan menarik balik fatwa-fatwa mereka yang
berlawanan dengan al-Quran dan al-Sunnah tetapi pengikut-pengikut masih
lagi fanatic dan mempertahankannya.
Demikian juga mereka yang taksub dengan mazhab-mazhab Fiqh
yang terus berusaha mencari dan mereka-reka dalih untuk membenarkan
mazhab mereka walaupun jelas terdapat nas yang menyalahi pendapat Imam
mereka.
Tindakan pengikut ini adalah sebenarnya menjadikan
Ulama’-ulama’ mereka sebagai sembahan selain ALLAH s.w.t dan lebih teruk
di akhirat nanti para ikutan mereka ini akan berlepas diri di hadapan
ALLAH s.w.t daripada dakwaan mereka sebagaimana ALLAH s.w.t berfirman:
إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا وَرَأَوُا الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الْأَسْبَابُ
Maksudnya: “Ketika mana mereka yang diikut berlepas
diri daripada mereka yang mengikut dan mereka telah melihat azab dan
terputuslah antara mereka kasih sayang”. [al-Baqarah: 166].
Kedua: Mendahulukan Akal atas Wahyu.
Akal adalah makhluk yang ALLAH ciptakan dan setiap makhluk
itu sifat zatnya adalah “faqir” memerlukan bimbingan, hidayah, dan
taufiq daripada ALLAH s.w.t sedangkan hidayah dan taufiq ALLAH itu
diketahui melalui Kalam-Nya iaitu al-Qur’an dan apa yang Dia wahyukan
kepada Rasulullah s.a.w melalui Al-Sunnah.
Maka perbuatan mendahulukan akal dan mengikut apa yang
disangka akal sebagai baik tanpa menjadikan al-Quran dan al-Sunnah
sebagai kayu ukurnya adalah jelas termasuk dalam amalan mereka yang
menjadikan hawa nafsunya sebagai ILAH yang ALLAH cela dalam Surah
al-Furqan ayat ke-43.
Perbuatan mendahulukan pandangan akal atas Wahyu adalah
perbuatan Iblis –laknat ALLAH ke atasnya tidak henti-henti- apabila dia
berkata:
قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ
Maksudnya: “Berkata Iblis: Aku lebih baik daripadanya (Adam) Engkau ciptakan aku daripada api sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah”. [Sod: 76]
Sedangkan ini hanyalah sangkaan yang salah dan Qiyas yang
Fasad, ALLAH mencipta apa yang Dia kehendaki dan Dia memilih apa yang
Dia kehendaki maka Dia afdalkan Adam yang dicipta dari Tanah daripada
Iblis yang dicipta daripada Api.
Kata Saidina Sahl bin Hanif r.a:
اتَّهِمُوا الرَّأْيَ، فَلَقَدْ رَأَيْتُنِي يَوْمَ أَبِي
جَنْدَلٍ وَلَوْ أَسْتَطِيعُ أَنْ أَرُدَّ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمْرَهُ لَرَدَدْتُ، وَاللَّهُ وَرَسُولُهُ
أَعْلَمُ
Maksudnya: “Tohmahlah pendapat akal, aku telah
melihat keadaan diriku pada hari Abu Jandal (hari perjanjian Hudaibiah)
jika aku mampun untuk menolak keputusan Rasulullah s.a.w sudah tentu aku
tolak sedangkan ALLAH dan RasulNya lebih mengetahui…” [HR al-Bukhari].
Demikian juga diriwayatkan ucapan yang sama daripada Umar
bin al-Khattab r.a di mana para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim amat
terkejut dengan keputusan Rasulullah s.a.w untuk tidak menyelamatkan Abu
Jandal r.a dan mengembalikan kepada Ayahnya Suhail dan dengan isi
perjanjian Hudaibiah yang kelihatan pada luarannya membawa kerugian Umat
Islam, namun ALLAH s.w.t menamakan apa yang berlaku sebgai Al-Fathul
Mubin (Kemenangan Yang Nyata):
إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا
Maksudnya: “Sesungguhnya KAMI telah memberikan kepada kamu (wahai Rasul) akan kemenangan yang nyata”. [al-Fath: 1].
Maksud pembukaan yang nyata ini adalah Perjanjian Hudaibiah
[Rujuk: Tafsir al-Tabari]. Dan ternyata hasil perjanjian Hudaibiah ini
merupakan kemenangan yang besar bagi Islam dan Umatnya yang berakhir
dengan pembukaan Makkah dan tersebarnya Islam di luar daripada Jazirah
Arab.
Kata Saidina Ali r.a:
لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْيِ لَكَانَ أَسْفَلُ الْخُفِّ
أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ، وَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ عَلَى ظَاهِرِ خُفَّيْهِ
Maksudnya: “Jika agama ini dibina berdasarkan
pandangan akal maka tentulah bahagian bawah khuf lebih utama untuk
disapu daripada atasnya, namun aku melihat Rasulullah s.a.w menyapu
bahagian atas kedua khuf baginda”. [HR Abu Daud].
Kata ‘Allamah Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah r.h [w.751 H]:
ومن اعترض على الكتاب والسنة بنوع تأويل من قياس أو ذوق أو عقل أو حال ففيه شبه من الخوارج أتباع ذي الخويصرة
Maksudnya: “dan barangsiapa yang menentang al-Kitab
dan al-Sunnah dengan apa-apa jenis Takwil sama ada Qiyas atau Zauq
(perasaan-perasaan hati), Akal, atau keadaan maka padanya terdapat
kesamaan dengan Khawarij pengikut Zul Khuwaisirah”. [Al-Sawa'iq al-Mursalah, 1/308].
Menjadi suatu kewajipan atas seorang Mukmin dan Mukminah
untuk mendahulukan wahyu atas pandangan-pandangan akal dan hawa
nafsunya, emosi dan perasaan jiwanya, bahkan mendahului kemaslahatan
peribadi dan keadaan semasa.
Namun, dewasa ini lebih banyak Umat Islam yang mendahulukan
pandangan akal dan ijtihad peribadi, menghalalkan yang haram dan
mengharamkan yang halal atas dasar Maslahat, Maqasid, Tajribah (cubaan)
dan lainnya.
Sesuatu perkara jika pada pandangan akal atau atas cubaan
ia membawa manfaat dan ada kemaslahatan tidak bermakna bahawa Syarak
membenar dan mengizinkannya, mengetahui sesuatu perkara itu baik atau
buruk memang banyak caranya dengan fikir, pandang, rasa, dan kaji tetapi
untuk mengetahui sama ada benda itu boleh atau tidak pada Syarak maka
hanya ada dua sahaja kayu ukurnya: Al-Quran dan Al-Sunnah yang Sahihah.
Sesuatu perkara jika ada maslahah dan kebaikan maka tidak
semestinya syarak akan membenarkannya kerana tidak semua maslahah
diambil kira, di sana ada Maslahah yang Mulghah (Tidak diambil kira)
oleh Syarak sebagaimana firman ALLAH berkenaan dengan Arak dan Judi:
فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
Maksudnya: “Pada keduanya (Arak dan Judi) itu
terdapat keburukan yang besar dan terdapat juga manfaat-manfaat bagi
manusia namun keburukan keduanya itu lebih besar dari kemanfaatan
keduanya”. [Al-Baqarah: 219].
Demikian juga ada sesetengah perkara yang pada sangkaan
manusia logik pada akal sebenarnya hanyalah Khayalan yang Tidak mungkin
wujud, dan ada perkara yang pada sangkaan akal sesetengah manusia tidak
logic tetapi sebenarnya akalnya yang rosak berlawanan dengan fitrah dan
akal lain yang sihat.
Ketiga: Demokrasi dan Sistem-sistem Kufur
Dunia Islam hari ini sering diasak untuk melaksanakan
Demokrasi dan Umat Islam hari ini sanggup bermandi darah untuk
memperjuangkan Demokrasi tanpa mereka sedari Demokrasi adalah Syirik
Akbar (Besar) yang menjadikan orang yang beriktiqad dengannya terkeluar
daripada Islam –nauzubillah min zalik-.
Jauhar atau inti pati Demokrasi adalah: “Pemerintahan dari
Rakyat, untuk Rakyat, oleh Rakyat” berlawanan dengan kehendak Islam di
mana Negara Islam adalah: “Dari ALLAH untuk ALLAH kerana ALLAH dengan
hukum ALLAH”.
مَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِهِ إِلَّا أَسْمَاءً
سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ
سُلْطَانٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا
إِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا
يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Apa yang kamu sembah, yang lain dari
Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek
kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya.
Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia
memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian
itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. [Yusuf: 40]
Demokrasi atau apa yang disebut sekarang sebagai: “Kuasa
Rakyat” adalah kekufuran yang sama melanda kaum Yahudi dan Nasrani
apabila mereka menjadikan suara majority sebagai asas dalam semua
perkara termasuk dalam pembentukan akidah mereka di
perhimpunan-perhimpunan Gereja (al-Majami’ al-Maskoniah).
Dengan Kuasa Rakyat dan Kehendak Rakyat, kaum Kafir Nasrani
dan Yahudi menghalalkan apa yang haram dan mengharamkan apa yang halal
sebagaimana kita dapat saksikan di USA, UK, Rusia, dan lainnya.
Hari ini Umat Islam mengikut jejak langkah Umat sebelum
mereka ini dan melaungkan slogan kufur yang sama dengan Umat-umat
sebelum mereka yang telah dihukum musnah dan celaka oleh ALLAH di dunia
dan akhirat –nauzubillah min zalik-.
Demikian juga sistem-sistem kufur lainnya seperti
Kapitalis, Sosialis, Sekularisme, Liberalisme, yang semuanya berpaksi
kepada mempertuhankan hawa nafsu dan menghalalkan apa yang ALLAH
haramkan dan mengharamkan apa yang ALLAH halalkan.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ
بَاعًا بِبَاعٍ، وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، وَشِبْرًا بِشِبْرٍ، حَتَّى لَوْ
دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَدَخَلْتُمْ فِيهِ» ، قَالُوا: يَا رَسُولَ
اللَّهِ الْيَهُودُ، وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: «فَمَنْ إِذًا»
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a kata beliau:
Bersabda Rasulullah s.a.w: “Kamu akan mengikut jejak langkah orang
sebelum kamu sedepa demi sedepa, sehasta demi sehasta, dan sejengkal
demi sejengkal, sehingga jika mereka masuk lubang biawak sekalipun maka
kamu akan masuk ke dalamnya”. Mereka (para Sahabat) berkata: “wahai
Rasulullah, adakah tuan maksudkan (dengan orang sebelum kamu) adalah
Yahudi dan Nasrani?” Jawab baginda: “Jika bukan itu siapa lagi?” [HR Al-Bukhari, Ibn Majah, Ahmad dll, lafaz dlm Ibn Majah].
Hadis di atas merupakan khabar yang dikhabarkan oleh
Rasulullah s.a.w akan apa yang dilakukan Umat baginda di akhir zaman dan
tujuan baginda mengkhabarkan perkara ini yang tentunya baginda peroleh
menerusi wahyu daripada ALLAH yang Maha Mengetahui supaya kita
berhati-hati jangan sampai terjebak dengan perlakuan sebahagian kaum
Fasiq yang meniru gaya hidup kaum kafir.
Hukum Mereka Yang Taat kepada Makhluk dalam Perkara yang Menyelisihi Syarak:
Para Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah telah merincikan masalah mereka yang mentaati makhluk dalam perkara maksiat sebagai berikut:
1- Mentaati perintah yang maksiat dalam menghalal dan mengharamkan dengan iktiqad
bahawa yang diikutinya itu memang mempunyai hak Tasyri’ serta reda
dengan hukum mereka itu mendahulukannya atas hukum ALLAH dan Rasul-Nya,
maka ini adalah Syirik Akbar menjadikan pelakunya Murtad –nauzubillah min zalik-.
2- Mentaati perintah yang maksiat kerana hawa nafsu namun masih beriktiqad bahawa hak tasyri’ adalah milik ALLAH sahaja dan hukum ALLAH adalah yang benar. Maka hukumnya adalah Mukmin yang Berdosa (Fasiq Milli).
3- Mentaati perintah yang maksiat atas sangkaan bahawa itu
adalah benar dan itulah hukum ALLAH (yakni Jahil). Maka jenis yang
ketiga ini tidak lepas daripada dua keadaan:
i- Dia mampu belajar dan mencari kebenaran atau dijelaskan kepadanya kebenaran tetapi dia ingkar mendengarnya maka dia berdosa dan sama seperti jenis yang kedua.
ii- Tidak mampu belajar atau tiada yang
mampu mengajarkannya, maka ALLAH itu Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani kepada hamba-hambaNya, Dia tidak membebankan mereka melebihi
dari kemampuan mereka, maka jenis ini diberi keuzuran.
Wallahul Muwaffiq.
17 Safar 1433 H, Madinah Nabawiah, Arab Saudi.