AL USOOL US-SITTAH
(Enam Prinsip Agung dan Penting)
SUSUNAN OLEH:
IMAM AL-DAKWAH MUHAMMAD BIN ABDUL WAHAB
(Imam Gerakan Dakwah Salafiah kurun ke-12 Hijrah, wafat 1206 H)
TERJEMAHAN & HURAIAN:
MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI
(FAKULTI DAKWAH & USULUDDIN, UNI.ISLAM MADINAH)
بسم الله الرحمن الرحيم
Antara perkara yang sangat mengagumkan dan menjadi tanda yang paling besar menunjukkan atas Kekuasaan Tuhan Pemerintah Yang Maha Menguasai adalah; enam prinsip yang ALLAH Ta'ala jelaskan dengan penjelasan yang sangat jelas untuk orang awam melebihi apa yang disangka oleh mereka yang bersangka, namun setelah penjelasan yang jelas ini, ramai dalam kalangan cerdik pandai cendekiawan anak-anak Adam tersalah dalam memahaminya kecuali sedikit daripada mereka:
PRINSIP PERTAMA:
Mengikhlaskan Agama untuk ALLAH Ta'ala semata-mata, Tiada sekutu bagi-Nya serta menjelaskan lawan kepada perkara ini iaitulah; Syirik kepada ALLAH, dan al-Quran telah menjelaskan prinsip ini dengan pelbagai bentuk dengan kalam yang boleh difahami orang awam yang paling jahil.
Kemudian apabila berubah kebanyakan Umat ini kepada keadaan mereka sekarang, Syaitan menzahirkan kepada mereka tindakan mengikhlaskan agama kepada ALLAH itu sebagai satu perbuatan yang merendahkan kedudukan orang-orang Soleh dan mengurangkan hak mereka serta menzahirkan pula rupa Syirik itu sebagai satu bentuk kecintaan terhadap orang-orang Soleh dan para pengikut mereka.
KOMENTAR & PENJELASAN:
Tauhid bermkasud: "Mengesakan ALLAH Ta'ala dalam perkara-perkara yang menjadi kekhususan bagi-Nya daripada; Rububiyah, Uluhiah, dan Al-Asma' was Sifat".
Ikhlas kepada ALLAH bermaksud: "Hendaklah tujuan seseorang itu beribadat adalah semata-mata untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan mencapai kejayaan di akhirat nanti".
Tauhid adalah Awal Dakwah para Rasul dan Nabi-nabi sebagaimana firman ALLAH Ta'ala:
Maksudnya: dan Sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkan supaya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah Bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulNya. [Al-Nahl: 36].
Kata Imam Ibn Katsir r.h berkenaan ayat ini:
"Yakni ALLAH mengutuskan pada setiap kurun daripada manusia dan kumpulan seorang Rasul dan semua mereka itu menyeru untuk beribadah kepada ALLAH dan dan melarang daripada menyembah selain-Nya". [Tafsir al-Quran al-Azim, Ibn Katsir].
Seruan kepada Tauhid dan mengamalkannya adalah Awal perkawa wajib ke atas manusia di dunia ini dan akhir tugas yang mereka perlu laksanakan sebelum mereka keluar dari dunia ini sebagaimana ALLAH berfirman:
Maksudnya: dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [al-Zariyat: 56]
Rasulullah s.a.w bersabda ketika baginda menghantar Saidina Mu'az bin Jabal r.a untuk berdakwah di Yemen:
إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى
Maksudnya: "Sesungguhnya kamu akan mendatangi kaum daripada Ahli Kitab, maka hendaklah perkara pertama yang kamu serukan kepada mereka supaya mereka mentauhidkan ALLAH…" [HR Al-Bukhari, Muslim dll].
Baginda juga bersabda:
مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ
Maksudnya: "Barangsiapa yang akhir perkataannya: La Ilaha Illallah; dia akan masuk ke syurga". [HR Abu Daud].
Kata 'Allamah Ibn al-Qayyim r.h:
"Maka Tauhid itu adalah perkara pertama dengannya seseorang masuk ke dalam Islam dan perkara terakhir yang dia keluar dengannya dari dunia … maka ia adalah Awal kewajipan dan akhir kewajipan, maka Tauhid itu adalah: seawal-awal perkara dan yang terakhirnya juga". [Madarij al-Salikin].
Oleh kerana pentingnya tuntutan Tauhid ini maka ALLAH Ta'ala telah menjelaskan kepada makhlukNya akan perkara ini sejelas-jelasnya demikian juga para Rasul telah menyempurnakan tugas mereka dengan sebaik-baik penyempurnaan dalam menyampaikan dan mengajarkan Tauhid kepada umat mereka.
Tidak masuk akal dan berlawanan dengan kesempurnaan ALLAH jika urusan Tauhid ini selaku urusan yang paling penting dan paling mustahak dan ALLAH menurunkan kitab-kitabNya dan mengutuskan Rasul-rasulNya untuk membimbang para HambaNya kemudian Dia tidak menjelaskan urusan Tauhid ini dengan jelas dan sempurna.
Tauhid itu meliputi 3 perkara sebagaimana dinyatakan Ulama Salaf setelah mereka meneliti nas-nas syarak; kata Imam Ibn Battah al-Ukbari r.h [w.387 H]:
وَذَلِكَ أَنَّ أَصْلَ الْإِيمَانِ بِاللَّهِ الَّذِي يَجِبُ عَلَى الْخَلْقِ اعْتِقَادُهُ فِي إِثْبَاتِ الْإِيمَانِ بِهِ ثَلَاثَةُ أَشْيَاءَ: أَحَدُهَا: أَنْ يَعْتَقِدَ الْعَبْدُ آنِيَّتَهُ لِيَكُونَ بِذَلِكَ مُبَايِنًا لِمَذْهَبِ أَهْلِ التَّعْطِيلِ الَّذِينَ لَا يُثْبِتُونَ صَانِعًا. الثَّانِي: أَنْ يَعْتَقِدَ وَحْدَانِيَّتَهُ، لِيَكُونَ مُبَايِنًا بِذَلِكَ مَذَاهِبَ أَهْلِ الشِّرْكِ الَّذِينَ أَقَرُّوا بِالصَّانِعِ وَأَشْرَكُوا مَعَهُ فِي الْعِبَادَةِ غَيْرَهُ. وَالثَّالِثُ: أَنْ يَعْتَقِدَهُ مَوْصُوفًا بِالصِّفَاتِ الَّتِي لَا يَجُوزُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَوْصُوفًا بِهَا مِنَ الْعِلْمِ وَالْقُدْرَةِ وَالْحِكْمَةِ وَسَائِرِ مَا وَصَفَ بِهِ نَفْسَهُ فِي كِتَابِهِ، إِذْ قَدْ عَلِمْنَا أَنَّ كَثِيرًا مِمَّنْ يُقَرِّبُهُ وَيُوَحِّدُهُ بِالْقَوْلِ الْمُطْلَقِ قَدْ يُلْحِدُ فِي صِفَاتِهِ، فَيَكُونُ إِلْحَادُهُ فِي صِفَاتِهِ قَادِحًا فِي تَوْحِيدِهِ
Maksudnya: "ini kerana asal Iman kepada ALLAH yang wajib atas makhluk untuk mempercayainya dalam menetapkan iman dengannya ada 3 perkara:
Pertama: Hendaklah seorang hamba berkeyakinan pada kewujudanNya supaya berbeza dengan mazhab Ahli Ta'til (Atheis) yang tidak mempercayai wujudnya pencipta.
Kedua: Hendaklah dia beriktiqad dengan KeesaanNya supaya dia berbeza dengan mazhab Ahli Syirik yang mengaku wujudnya pencipta tetapi melakukan syirik dalam Ibadah kepada selainNya.
Ketiga: Hendaklah dia berikttiqad bahawa ALLAH itu bersifat dengan sifat-sifat yang tidak dapat tidak Dia mesti bersifat dengannya seperti Ilmu, Kudrat, Hikmah, dan semua yang Dia sifatkan bagi diriNya dalam Kitab-Nya kerana kita mengetahui bahawa ramai yang mendekatkan diri kepadaNya dan mentauhidkanNya secara mutlak telah melakukan Ilhad dalam sifat-sifatNya maka perbuatan Ilhadnya ini menjadi satu kecacatan pada Tauhidnya …" [Al-Ibanah al-Kubra, jil 2, m,s 172-173]
Kata 'Allamah Ibn al-Qayyim r.h bahawa Al-Quran itu seluruhnya berbicara berkenaan Tauhid dan menyeru kepadanya kerana al-Quran itu sama ada:
Pertama: Menceritakan berkenaan Nama-nama dan Sifat-sifat ALLAH dan ini adalah Tauhid al-'Ilmi al-Khabari, atau;
Kedua: Menyeru supaya beribdah kepada ALLAH dan meninggalkan sembahan selainNya maka ini adalah Tauhid al-Iradi al-Tolabi, ataupun;
Ketiga: Berkenaan Perintah dan Larangan maka ini adalah hak-hak Tauhid dan penyempurnaannya, ataupun;
Keempat: Nikmat dan Ganjaran ALLAH kepada kaum mukminin dan ini adalah Ganjaran bagi mereka yang melaksanakan Tauhid, atau;
Kelima: Memberitakan berkenaan azab dan hukuman ALLAH atas mereka yang ingkar dan melakukan maksiat dan ini adalah hukuman dan azab bagi mereka yang meninggalkan Tauhid dan berpaling daripadanya.
Surah pertama al-Quran; al-Fatihah menceritakan dari awal hingga akhirnya berkenaan Tauhid dan al-Quran diakhiri dengan surah al-Nas yang juga berkenaan Tauhid.
Maka tidak sewajarnya ada lagi kekeliruan dan kesamaran berkenaan Tauhid ini dan tidak ada lagi alasan dan ruang untuk mentakwil dan memutar belitkan urusan tauhid ini, namun Syaitan itu berusaha terusan untuk menyesatkan manusia lalu dia memasukkan racun Syirik kepada mereka dengan mempergunakan sikap hormat dan cinta kepada orang-orang soleh.
Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Saidina Ibn 'Abbas r.huma berkenaan firman ALLAH:
Maksudnya: "Dan (Ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr. [Nuh: 23]
"Ini adalah nama-nama orang Soleh daripada kaum Nuh a.s, apabila mereka meninggal dunia, Syaitan mewahyukan kepada kaum mereka: "hendaklah kamu membina tugu-tugu peringatan di tempat-tempat majlis mereka dahulu dan namakan dengan nama-nama mereka", maka mereka melakukannya, dan ia tidak disembah sehinggalah mereka ini semua telah mati lalu dilupakan ilmu maka ianya disembah (oleh anak-cucu mereka)". [Tafsir Ibn Katsir].
Demikianlah sikap melampau dalam mengagungkan orang-orang soleh dan tokoh-tokoh pemimpin membawa Syirik kepada ALLAH, dan masalah ini terus menjadi punca utama kepada kesyirikan di setiap zaman sehinggalah di zaman kita ini. Hanya dengan berpegang teguh dengan landasan dan garis panduan yang ditetapkan al-Quran dan al-Sunnah dapat mengelakkan ianya berlaku.
PRINSIP KEDUA:
ALLAH memerintahkan supaya bersatu padu dalam agama dan melarang berpecah-belah di dalamnya, maka ALLAH telah menjelaskan masalah ini dengan penjelasan yang cukup dan memuaskan dan difahami oleh orang-orang awam, dan Dia melarang kita daripada berpecah belah seperti orang-orang sebelum kita (Umat terdahulu) lalu mereka itu musnah dan Dia menyatakan bahawa Dia telah memerintahkan para Rasul supaya bersatu padu dalam agama dan melarang perpecahan di dalamnya.
Perkara ini bertambah jelas dengan apa yang datang daripada al-Sunnah (menjelaskannya) dengan penjelasan yang mengagumkan.
Kemudian perkara menjadi terbalik di mana perpecahan dalam usul-usul agama dan cabang-cabangnya itulah yang dianggap sebagai Ilmu dan Fiqh dalam agama, manakala bersatu padu dalam agama itu tidaklah menyeru kepadanya melainkan seorang (yang dianggap) Zindiq atau Jahil!
KOMENTAR & PENJELASAN:
ALLAH memerintahkan kita bersatu padu dengan melazimi perintah-perintahNya dan berpegang teguh dengan Tali ALLAH sebagaimana firman-Nya:
Maksudnya: dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. [Ali Imran: 103]
Kata Ibn Mas'ud r.a:
إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ هُوَ حَبْلُ اللَّهِ الَّذِي أَمَرَ بِهِ
Maksudnya: "Sesungguhnya al-Quran ini adalah Tali ALLAh yang Dia perintahkan dengannya…" [Musannaf Abdul Razzak].
Berpegang teguh dengan ajaran al-Quran terkandung padanya berpegang dengan al-Sunnah kerana antara perintah al-Quran itu adalah:
Maksudnya: dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka Terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. [al-Hasyr: 7]
Dan firman ALLAH surah al-Nisaa ayat 64-65:
Maksudnya: dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (Wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. maka Demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
Termasuk dalam berpegang dengan Sunnah baginda s.a.w adalah melazimi petunjuk jalan Salafus Soleh kerana Sabda baginda s.a.w:
أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ، وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ، تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ، فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
Maksudnya: "Aku berpesan kepada kamu supaya bertakwa kepada ALLAH, dengar dan taat, walaupun (pemerintah kamu) seorang hamba habsyi kerana barangsiapa yang hidup antara kamu selepasku nanti akan melihat banyak perbezaan pendapat, maka wajib atas kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khalifah yang diberi petunjuk memberi petunjuk, berpegang teguh dengannya dan gigit dengan geraham kamu, jauhilah kamu akan perkara-perkara baharu kerana setiap yang baharu itu bidaah dan setiap bidaah itu adalah kesesatan". [HR Abu Daud].
Namun, amat menyedihkan kaum muslimin hari ini memandang serong kepada mereka yang menyeru supaya mereka kembali kepada Tali ALLAH ini dan kembali kepada al-Jamaah sebagai penyeru perpecahan dan pembawa musibah, mereka sanggup bersatu padu atas kebatilan dan tanpa mengira usul akidah yang dianggap remeh asalkan mempunyai matlamat duniawi yang satu maka mereka mendabik dada bahawa mereka adalah al-Jamaah.
Dabit al-Jamaah adalah: Melazimi kebenaran di mana sahaja ia berada dan berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah atas Manhaj Salafus Soleh sebagaimana kata Abdullah bin Mas'ud r.a:
الْجَمَاعَة مَا وَافق الْحق وَإن كنت وَحدك
Maksudnya: "Al-Jamaah itu adalah apa yang sesuai dengan kebenaran walaupun kamu seorang diri" [al-Ba'is 'ala Inkaril Bida' wal Hawadis, Abu Syamah].
PRINSIP KETIGA:
Bahawa termasuk kesempurnaan dalam bersatu padu adalah mendengar dan mentaati orang yang menjadi pemerintah kita walaupun dia seorang hamba Habsyi. Maka ALLAH telah menjelaskan perkara ini dengan penjelasan yang memuaskan dan mencukupi dengan pelbagai bentuk penjelasan secara Syarak dan Qadar.
Kemudian perkara ini menjadi sesuatu yang Tidak Diketahui di sisi kebanyakan orang yang mendakwa berilmu apatah lagi hendak beramal dengannya!!
KOMENTAR & PENJELASAN:
Antara prinsip Akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah Mentaati pemerintah kaum muslimin dalam perkara makruf dan tidak memberontak kepada pemerintah walaupun mereka itu zalim dan fasiq selagi mereka itu mukmin dan menasihati mereka dengan kebaikan dan mendoakan mereka dengan hidayah dan kebaikan.
ALLAH menjelaskan usul ini melalui Syarak iaitu dalam firmanNya:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [Al-Nisaa: 59]
Demikian melalui Hadis-hadis Nabi s.a.w antaranya:
على المرء المسلم السَّمعُ والطاعَةُ فيما أحَبَّ أو كَرِهَ ، إِلا أَنْ يُؤمَرَ بِمَعْصِيَةٍ ، فَإِن أُمِرَ بِمعصيةٍ، فلا سَمْعَ ، ولا طَاعَةَ
Maksudnya: “Wajib atas setiap muslim dengar dan taat (kepada pemerintah) dalam urusan yang dia suka atau benci melainkan dia disuruh melakukan maksiat maka jika dia disuruh melakukan maksiat maka tidak wajib dengar dan tidak wajib taat”. [Hadis dikeluarkan: al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasai, dan Ahmad].
Sabda Rasulullah s.a.w juga:
«إِنَّهُ يُسْتَعْمَلُ عليكُمْ أُمَرَاءُ ، فَتعرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ ، فَمَنْ كَرِهَ فَقد بَرِئ ، وَمَن أَنْكَرَ فقد سَلِمَ، ولكن مَنْ رَضي وتَابَعَ» ، قالوا : أفَلا نُقَاتِلُهمْ ؟ قال : «لا ، مَا صَلُّوا».
Maksudnya: “Sesungguhnya akan memerintah kamu nanti pemerintah-pemerintah, maka (ada perbuatan mereka) yang kamu setujui dan ada yang kamu ingkar, maka sesiapa yang membenci (maksiat yang mereka lakukan) dia telah terlepas (daripada azab), sesiapa yang mengingkarinya dia selamat, tetapi sesiapa yang reda dan mengikut (maka dia termasuk orang yang bersubahat)”. Mereka (Sahabat) berkata: ‘Apa tidak patutkah kami memerangi mereka (pemerintah)?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi mereka bersolat”. [Hadis dikeluarkan: Muslim, Abu Daud, dan al-Tarmizi dan lafaz pada Muslim].
Hadis-hadis berkenaan bab ini mencapai tahap Mutawatir sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi r.h dan al-Imam al-Syaukani r.h. Bahkan sezalim mana pun pemerintah muslim itu, Islam melarang mereka memberontak kerana mafsadah pemberontakan itu sentiasa melebihi maslahahnya sebagaimana sabda Nabi s.a.w:
تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلْأَمِيرِ، وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ، وَأُخِذَ مَالُكَ، فَاسْمَعْ وَأَطِعْ
Maksudnya: "Kamu dengar dan taatlah kepada pemerintah walaupun dia memukul belakang kamu dan merampas harta kamu, maka dengar dan taatlah (dalam perkara makruf)". [HR Muslim].
ALLAH menerangkan juga kepentingan berpegang dengan Jamaah dan mentaati pemerintah ini melalui Qadar di mana realiti membuktikan setiap pemberontakan yang berlaku sepanjang sejarah manusia, keburukan yang timbul hasil pemberontakan itu melebihi kemaslahatannya sebagaimana kata Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h:
وَلَعَلَّهُ لَا يَكَادُ يَعْرِفُ طَائِفَةً خَرَجَتْ عَلَى ذِي سُلْطَانٍ، إِلَّا وَكَانَ فِي خُرُوجِهَا مِنَ الْفَسَادِ مَا هُوَ أَعْظَمُ مِنَ الْفَسَادِ الَّذِي أَزَالَتْهُ.
Maksudnya: "dan boleh jadi tidak diketahui adanya kumpulan yang memberontak terhadap pemerintah melainkan dalam tindakannya memberontak itu terdapat kerosakan yang lebih besar daripada kerosakan yang hendak dia hilangkan". [Minhaj al-Sunnah, 3/391].
Kata Syeikh Muhammad bin Soleh al-Usaimin r.h [w.1421 H]:
إن الكلمة إذا تفرقت، والرعية إذا تمردت، دخلت الأهواء والضغائن وصار كل واحد يسعى لتنفيذ كلمته وإن تبين أن الحق والعدل في خلافها
Maksudnya: "Apabila berlaku perpecahan dan rakyat mula memberontak maka masuklah hawa nafsu dan peyakit hati lalu setiap orang hendak melaksanakan kemahuannya walaupun jelas kebenaran dan keadilan itu berada di sebaliknya" [Syarah Usul Sittah].
Hal ini sangat jelas dapat disaksikan daripada realiti kita hari ini dan mengambil iktibar apa yang berlaku daripada sejarah yang lepas, mereka yang mengingkari perkara ini seumpama mengingkari kewujudan matahari di tengah hari.
Namun, pada dewasa ini bahkan pada zaman Syeikh Imam Dakwah lagi, para Ilmuan yang disangka Ulama oleh masyarakat sudah tidak mengambil berat lagi usul ini bahkan di zaman kita ini musibah menjadi lebih besar apabila pada mata masyarakat Ulama mestilah seorang yang berani "memberontak" kepada pemerintah, adapun mereka yang melazimi manhaj salaf dalam bermu'amalah dengan pemerintah akan dicop sebagai "penjilat" dan lain-lain gelaran buruk. Nauzubillah min zalik.
PRINSIP KEEMPAT:
Penjelasan berkenaan Ilmu dan Ulama, Fiqh dan Fuqaha' dan penjelasan berkenaan orang-orang yang hanya menyamar sebagai mereka namun bukanlah daripada mereka dan ALLAH telah menjelaskan perkara ini pada bahagian awal surah al-Baqarah dalam firman-Nya:
Maksudnya: Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan Segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain). [Al-Baqarah: 40]
Sehingga firman-Nya sebelum menyebutkan kisah Ibrahim:
Maksudnya: Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain (yang ada pada zamannya). [Al-Baqarah: 122].
Seperti ayat yang pertama (ayat ke-40) tadi juga.
Perkara ini bertambah jelas dengan apa yang diterangkan oleh Sunnah berkenaan perkara dengan kalam yang banyak dan jelas kepada seorang awam yang dungu.
Kemudian perkara ini menjadi perkara yang paling ganjil, dan jadilah perkara yang dikatakan Ilmu dan Fiqh itulah apa yang sebenarnya adalah Bidaah-bidaah dan kesesatan-kesesatan, dan perkara yang paling baik di sisi mereka ini adalah memutarbelitkan kebenaran dengan kebatilan dan jadilah Ilmu yang ALLAH fardukan atas makhluk (untuk dipelajari) dan yang ALLAH puji itu tidak ada orang yang bercakap berkenaannya melainkan (akan dianggap) Zindiq atau Gila! Dan orang-orang yang melarang dan mencegah daripadanya itulah yang dianggap sebagai Faqih dan 'Alim!!
KOMENTAR & PENJELASAN:
Ilmu yang dipuji dan digalakkan oleh Syarak untuk menuntutnya dan beramal dengannya serta dicela mereka yang berpaling daripadanya dan tidak beramal dengannya adalah Ilmu Syarak.
Sabda Nabi s.a.w:
مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
Maksudnya: "Barangsiapa yang ALLAH kehendaki padanya kebaikan maka ALLAH akan berikannya kefahaman dalam agama". [HR al-Bukhari].
Ulama yang sebenar adalah mereka yang beramal dengan Sunnah baginda Rasulullah s.a.w dan menyebarkannya kepada manusia dan berpegang teguh dengan tali ALLAH s.w.t dan sifat-sifat ini ALLAH jelaskan dalam ayat-ayat yang dinyatakan oleh Imam al-Dakwah dalam usul enam ini:
- Menunaikan hak-hak ALLAH dan berpegang teguh dengan 'Ahdullah (janji ALLAH) dan menurut Ulama Tafsir ianya adalah "Tali ALLAH".
- Takut kepada ALLAH dengan sebenar-benar
- Bertakwa kepada ALLAH dan berani kerana benar, tidak gentar dalam menyampaikan kebenaran.
- Beriman dengan sepenuh jiwa raga kepada ALLAH
- Tidak mencampur adukkan antara kebenaran dan kebatilan
- Menunaikan semua kewajipan dan kefarduan yang ALLAH perintahkan dan menjauhi laranganNya.
- Melaksanakan apa yang mereka serukan
- Sabar dalam berjuang di jalan ALLAH dan mengharapkan bantuan daripada ALLAH sahaja, hatinya tidak bergantung dengan makhluk sama sekali.
Inilah antara cirri-ciri Ulama Rabbani yang mampu mendidik Umat dan memimpin mereka kepada kejayaan,
ALLAH berfirman:
Maksudnya: tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku Dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam? [Ali Imran: 79-80]
Ayat ini menjelaskan Ulama itu mereka yang menyeru manusia untuk beribadat kepada ALLAH, memerangi syirik, dan memberikan focus dakwahnya untuk membersihkan akidah umat. Mereka mendidik umat atas perkara yang kecil sebelum menjerumuskan mereka dalam perkara yang besar.
Hendaklah kamu muslimin memahami ciri-ciri Ulama ini supaya mereka tidak tertipu dengan mereka yang bertopengkan Ulama namun menyebarkan bidaah dan kesesatan; kata Imam al-Barbahari r.h:
واعلم - رحمك الله - أن العلم ليس بكثرة الرواية [والكتب] ، إنما العالم من اتبع العلم والسنن، وإن كان قليل العلم [والكتب] ومن خالف الكتاب والسنة فهو صاحب بدعة، وإن كان كثير العلم [والكتب] .
Maksudnya: "dan ketahuilah –semoga ALLAH merahmati kamu- bahawa ilmu itu bukan dengan banyaknya riwayat dan kitab, sesungguhnya yang dikatakan 'alim itu adalah orang yang mengikut ilmu dan sunnah walaupun sedikit ilmunya dan kitab, barangsiapa yang menyalahi al-Kitab dan al-Sunnah maka dia adalah Ahli Bidaah walaupun ilmun dan kitabnya banyak". [Syarhus Sunnah].
Di dalam Mukhtasar Minhaj al-Qasidin , Imam Ahmad bin Qudamah al-Maqdisi r.h menyataka antara sifat-sifat Ulama Rabbani itu adalah:
"Mengikut jejak langkah para Sahabat dan golongan yang terbaik daripada Tabiin dan menjauhi segala bentuk bidaah". [m.s 37]
Namun menjadi satu kekesalan apabila umat hari ini mudah diperdaya dengan sijil, jubah, serban, kepetahan bercakap, dan kekreatifan berfatwa lalu seseorang itu terus dijulang sebagai Ulama. Maka hendaklah mereka membetulkan minda mereka dalam menilai Ulama untuk mereka dapat mencari jalan yang benar dan hak.
PRINSIP KELIMA:
Penjelasan ALLAH berkenaan para Wali dan pembezaanNya antara mereka dengan orang-orang yang menyamar sebagai mereka daripada musush-musuhNya dalam kalangan orang-orang Munafiq dan Fajir.
Cukuplah dalam menjelaskan perkara ini ayat dalam surah Ali Imran [ayat:31]:
Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dan ayat dalam surah al-Mai-dah iaitulah firmanNya [ayat ke-54]:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya.
Dan ayat dalam surah Yunus [ayat ke-62-63]:
Maksudnya: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
Kemudian perkara ini di sisi mereka yang mendakwa sebagai Ahli Ilmu dan menyangka dialah yang member hidayah kepada makhluk dan menganggap dirinya sebagai para penjaga syariat; perkara ini di sisi mereka hendaklah Wali-wali itu orang yang meninggalkan mengikut (Sunnah) Rasul barangsiapa yang mengikut baginda bukanlah daripada wali-wali, perlu meninggalkan Jihad, barangsiapa yang berjihad bukanlah daripada wali, dan perlu juga meninggalkan Iman dan Takwa, barangsiapa yang melazimi Iman dan Takwa maka dia bukanlah daripada kalangan wali.
Wahai Tuhan kami, kami memohon kepadaMu keampunan dan keafiatan, Engkau jua yang Maha Mendengar Doa.
KOMENTAR & PENJELASAN:
Wali di sisi Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah sebagaimana yang ALLAH nyatakan sifat-sifat mereka itu dalam tiga ayat yang dibawakan oleh Imam Dakwah ini di mana cirri-ciri itu adalah:
Daripada ayat yang pertama menyatakan: Melazimi Sunnah Rasulullah s.a.w
Daripada ayat kedua terdapat beberapa sifat iaitulah:
- Berkasih sayang dan berlemah lembut dengan orang-orang beriman dan bertakwa, mereka kasih mengasihi kerana ALLAH dan Wala' mereka kepada ALLAH dan RasulNya.
- Berlepas diri daripada orang-orang musyrikin dan sangat memusuhi kesyirikan dan maksiat dan ahli-ahlinya.
- Berjuang di jalan ALLAH dengan jiwa dan harta.
- Tidak Gentar menegakkan kebenaran kerana ALLAH.
Daripada ayat yang ketiga:
- Iman yakni di dalam Hati
- Takwa yakni pada anggota badannya.
Ahlus Sunnah wal Jamaah beriman dengan Karamah para Wali bahawa ALLAH memuliakan mereka dengan perkara-perkara yang di luar kebiasaan adat sama ada secara Ilmu mahupun Kemampuan (kudrat) namun hendaklah terlebih dahulu orang yang zahir padanya kejadian luar biasa ini diukur dengan al-Quran dan al-Sunnah kerana kejadian luar biasa boleh juga berlaku kepada Ahli Sihir wali-wali Syaitan dan mereka yang ALLAH berikan istidraj untuk menyesatkannya.
Kata Imam al-Syafii r.h:
بَلْ إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَمْشِي عَلَى الْمَاءِ، وَيَطِيرُ فِي الْهَوَاءِ، فَلَا تَغْترُوا بِهِ حَتَّى تَعْرِضُوا أَمْرَهُ عَلَى الْكِتَاب
Maksudnya: "Bahkan jika kamu melihat seseorang itu berjalan di atas air dan terbang di udara maka janganlah kamu terpedaya dengannya sehinggalah kamu mengukur keadaannya dengan al-Kitab". [Syarah al-Tahawiah, Ibn Abil Izz].
Demikian juga, keimanan dengan karamah para Wali tidaklah pula membawa kita melangkaui batas sehingga menjadikan mereka sebagai sembahan selain ALLAH dan tidak pula kita melebihkan seorang Wali atas Nabi bahkan di sisi Ahlus Sunnah wal Jamaah, seorang Nabi itu lebih afdal dari sekalian wali.
PRINSIP KEENAM:
Menolak Syubhat yang diletakkan oleh Syaitan supaya ditinggalkan al-Quran dan al-Sunnah, dan supaya diikutnya pandangan-pandangan akal dan hawa nafsu yang berbeza dan pelbagai; iaitulah: Al-Quran dan al-Sunnah tidak dapat mengenali dan memahaminya kecuali Mujtahid Mutlah dan Mujtahid Mutlak itu pula adalah seseorang yang disifatkan dengan sifat-sifat yang boleh jadi tiada pada Abu Bakar dan Umar r.huma. Barangsiapa yang tidak mempunyai sifat-sifat ini hendaklah dia berpaling daripada keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) tanpa syak dan ragu-ragu lagi, barangsiapa yang hendak mencari hidayah daripada keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) maka dia adalah Zindiq atau Gila kerana susahnya untuk difahami keduanya.
Maka, Maha Suci ALLAH dengan segala kepujian-Nya, banyak sekali penjelasan yang ALLAH jelaskan sama ada secara qadar mahupun syarak, penciptaan mahupun perintah dalam menolak syubhat yang terlaknat ini dengan pelbagai wajah yang mencapai tahap daruri 'am tetapi kebanyakan manusia itu tidak mengetahui.
Firman ALLAH Ta'ala:
Maksudnya: Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman. Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak.
dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab Yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka Dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar). dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, Engkau beri amaran atau Engkau tidak beri amaran kepadanya - mereka tidak akan beriman. Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang Engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia. [Yasin: 7-11]
KOMENTAR & PENJELASAN:
Seruan untuk kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah sering dihalang dengan pelbagai halangan dan syubhat, dan yang terbesar antara syubhat ini adalah dakwaan mereka bahawa: "kami ini bukan mujtahid, kami tidak mampu meneliti dalil maka kami hanya mampu bertaklid sahaja".
Dakwaan bahawa hanya mujtahid mutlak sahaja yang berhak meneliti dalil adalah tidak benar kerana kita melihat para Ulama seperti Imam al-Muzanni, Imam al-Nawawi, Imam Ibn Hajar dan ramai lagi Ulama yang tidak mencapai tahap mujtahid mutlak tetapi mereka berijtihad dan meneliti dalil dalam bab-bab tertentu lalu mereka mengambil pendapat yang mereka lihat rajih (kuat) di sisi mereka walaupun menyalahi mazhab Imam mereka.
Mujtahid itu syarat-syaratnya adalah:
- Mengetahui dalil-dalil syarat dan cara istidlalnya.
- Mengetahui kesahihan hadis dan membezakannya antara yang daif dan sahih
- Mengetahui al-Nasikh dan al-Mansukh
- Mengetahui mana masalah yang Ijmak dan mana yang berlaku padanya Khilaf
- Menguasai Ilmu Usul Fiqh dan Bahasa Arab
- Mempunyai kemampuan untuk mengistinbatkan hukum.
Mujtahid itu pula sama ada:
1- Mutlak seperti Imam-imam Mazhab
2- Muqayyad atau Juz'ie yakni dia mampu berijtihad dalam bidang tertentu atau bab tertentu sekadar ilmunya seperti para Imam selepas zaman ulama salaf dan para penuntut ilmu.
Maka dakwaan hanya mujtahid mutlak sahaja yang mampu berijtihad adalah dakwaan yang batil yang tidak ada sandaran sama sekali.
Seruan kononnya "pintu ijtihad telah ditutup" adalah dakwaan yang tidak benar sehingga para Ulama berkata: "mereka yang berfatwa seperti ini pun sebenarnya fatwanya ini dibina atas Ijtihad".
Para Ulama Salaf mencela tindakan Taqlid buta dan memejamkan mata daripada meneliti dalil dan istidlal sebagaimana diriwayatkan daripada Imam-imam Mazhab:
Kata Imam al-Syafii r.h:
إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فخذوا سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم، ودعوا ما قلت
Maksudnya: "Jika kamu mendapati pada kitabku ini perkara yang menyalahi Sunnah Rasulullah s.a.w maka ambil lah Sunnah Rasulullah s.a.w dan tinggalkan apa yang aku katakana". [Fathul Majid, Abdul Rahman bin Hasan, m.s 388].
Kata Imam Ahmad bin Hanbal r.h:
لَا تُقَلِّدْنِي وَلَا تُقَلِّدْ مَالِكًا وَلَا الثَّوْرِيَّ وَلَا الْأَوْزَاعِيَّ، وَخُذْ مِنْ حَيْثُ أَخَذُوا.
Maksudnya: "Janganlah kamu bertaklid kepada aku dan jagan pula kepada Malik dan jangan juga kepada al-Tsaury dan jangan juga kepada al-Auza'ie namun ambil lah (ilmu) daripada mana mereka ambil". [I'lam al-Muwaqqi'ien, Ibn al-Qayyim, 2/139]
Kata Imam Abu Yusuf r.h, Sahabat Abu Hanifah dan pengembang mazhab beliau:
لَا يَحِلُّ لِأَحَدٍ أَنْ يَقُولَ مَقَالَتَنَا حَتَّى يَعْلَمَ مِنْ أَيْنَ قُلْنَا
Maksudnya: "Tidak halal bagi seseorang untuk berkata dengan pendapat kami sehinggalah dia mengetahui dari mana kami katakannya (yakni mengetahui dalilnya)". [ibid, m.s 140].
Hukum Taqlid sebagai berikut:
Pertama: Taqlid yang HARAM dan ianya terdapat 3 jenis:
- Taqlid dengan berpaling langsung daripada dalil dan cukup sekadar beramal dengan amalan nenek moyang.
- Taqlid kepada orang yang bukan ahli untuk ditaqlidkan (bukan Ulama yang layak untuk berijtihad).
- Bertaqlid setelah jelas dalil menyalahi perkataan Imam yang ditaqlidkan padanya.
Kedua: Taqlid yang HARUS:
Taqlid menjadi harus kepada mereka yang tidak mampu berijtihad seperti orang awam maka mereka ini diberi kelonggaran untuk bertaqlid selama mana mereka mengikut syarat-syaratnya iaitu:
- Hendaklah dia seorang yang jahil tidak mampu berijtihad atau dia mampu berijtihad tetapi tidak dapat merajihkan antara dalil-dalil yang ada seperti keadaannya para penuntut ilmu atau seorang mujtahid yang kesuntukan masa tidak dapat meneliti dalil dan mentarjihkannya kerana fatwa diperlukan dalam keadaan segera.
- Hendaklah dia bertaqlid kepada orang yang layak dan cukup syarat untuk berijtihad.
- Jika kemudiannya jelas kepadanya dalil dan rajih padanya qaul yang lain maka hendaklah dia mengikut dalil dan meninggalkan taqlid
- Taqlid itu tidak menyalahi perkara yang jelas berlawanan dengan dalil atau ijmak.
Oleh itu, yang wajib atas seorang muslim adalah mencari ilmu sekadar mampunya dan mengikut kebenaran di mana sahaja ia berada dan melazimi manhaj Salafus Soleh semampu mungkin.
ALLAH mencela mereka yang bertaqlid buta dan tindakan taqlid buta kepada para Ulama dan Taksub Mazhab boleh membawa pelakunya terjebak dalam SYIRIK sebagaimana firman ALLAH:
Maksudnya: mereka menjadikan pendita-pendita dan Ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (Mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka sekutukan. [Al-Taubah: 31]
Telah tsabit daripada Rasulullah s.a.w bahawa maksud mereka menjadikan para pendeta dan rahib sebagai Tuhan selain ALLAH adalah tindakan mereka mengikut secara membuta tuli apa sahaja hukum yang dikeluarkan ulama mereka dalam menghalal dan mengharamkan.
آخره والحمد لله رب العالمين، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما كثيرا إلى يوم الدين.
sumber : http://1aqidah.net/aqidah/103-enam-prinsip-agung-dan-penting.html