Guru kami, Professor Dr. Abdul Aziz al-Salumi –hafizahullah-, sejarawan dan pensyarah di Kuliah Dakwah & Usuluddin, Universiti Islam Madinah telah menyenaraikan beberapa buah kitab Tarikh (Sejarah) yang perlu dijauhi dan berhati-hati daripada kita mengambil maklumat daripadanya kerana penulisnya adalah dari kaum Pendusta Rafidah. Antaranya sebagai berikut:
- Kitab al-Riddah – disandarkan kepda: Al-Waqidi r.h, sedangkan ianya adalah diambil dari kitab al-Futuh oleh Ibn A'tsum, seorang Syi'ah Rafidi. Kitab al-Riddah karangan al-Waqidi yang sebenarnya adalah "Mafqud" (hilang).
- Kitab al-Imamah wa al-Siyasah – Disandarkan kepada Imam Ibn Qutaibah al-Dinawari namun ianya tidak sahih. Dalil yang jelas kepalsuannya adalah terdapat catatan peristiwa yang berlaku beberapa tahun selepas kewafatan Ibn Qutaibah r.h. (Tambahan: Guru kami, Syeikh Ibrahim al-Ruhaili –Hafizahullah- Pensyarah Akidah di Kuliah Dakwah & Usluddin dan Guru di Masjid al-Nabawi menyatakan: kemungkinan besar Ibn Qutaibah di sini adalah seorang Ulama Syi'ah bukan Ibn Qutaibah al-Dinawari Ulama Ahlus Sunah wal Jamaah).
- Kitab al-Futuh- Karangan Ibn A'tsum dan dia adalah seorang Syi'ah Rafidi yang mempunyai riwayat-riwayat yang menjatuhkan martabat Sahabat ridwanullahi 'alaihim.
Demikian juga dalam mengambil riwayat Sejarah dalam kitab-kitab Sejarah Ahlus Sunnah wal Jamaah, perlu diperhatikan pada sanad riwayat itu, kerana tujuan diriwayatkan riwayat sejarah dengan sanad adalah supaya dinilai sanadnya, mana yang Sahih maka diambil, mana yang tidak sahih ditinggalkan. Antara perawi Syi'ah yang terdapat dalam kitab-kitab sejarah adalah:
- Abu Mikhnaf Lut bin Yahya, seorang Syi'ah yang menyeru kepada Bida'ahnya sebagainya dinyatakan oleh Ibn 'Adi.
- Hisyam al-Kalbi, seorang Rafidah yang dituduh (yakni pada riwayat-riwayatnya).
Demikian juga dalam ilmu sejarah terdapat dua orang yang digelar "al-Tabari" :
- Muhammad bin Jarir bin Yazid al-Tabari = beliau adalah Imam Ahlus Sunnah wal Jamaah, Ibn Jarir al-Tabari, Imam Ahli Tafsir dan Sejarah.
- Muhammad bin Jarir bin Rustum al-Tabari = dia sebagaimana dikatakan oleh al-Zahabi r.h dalam Mizan al-I'tidal sebagai seorang Rafidi dan mempunyai karangan-karangan juga.
Maka janganlah kita mudah terpedaya dan tertipu dengan Taktik Syi'ah Rafidah apabila mereka membawakan kepada kita riwayat-riwayat sejarah, hendaklah diselidiki terlebih dahulu dan dipastikan kesahihannya. Wallahua'lam.
Ditulis oleh:
Muhammad Asrie bin Sobri al-Madani
Kuliah Dakwah & Usuluddin, Universiti Islam Madinah Nabawiah
