Tuesday, August 23, 2011

PERBEZAAN SOLAT TARAWIH,QIYAMULLAIL & TAHAJJUD


OLEH: IMAM ABDUL AZIZ BIN ABDULLAH BIN BAZ R.H
MANTAN MUFTI ARAB SAUDI
TERJEMAHAN: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Soalan:        
Apakah perbezaan antara solat tarawih, qiyam, dan tahajjud?  berikanlah kami fatwa semoga kamu diberikan ganjaran oleh ALLAH.

Jawapan:

Solat yang dilakukan di waktu malam dinamakan sebagai Tahajjud dan dinamakan juga sebagai Qiyamullail sebagaimana firman ALLAH Ta'ala:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ
Maksudnya: "Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu" [Al-Israa': 79].

Dan ALLAH s.w.t berfirman:
يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا
Maksudnya: "Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat)" [Al-Muzzammil: 1-2]

Demikian juga ALLAH s.w.t menyifatkan hamba-hambaNya yang bertakwa dalam surah al-Zariat [16-17]:
آخِذِينَ مَا آتَاهُمْ رَبُّهُمْ إِنَّهُمْ كَانُوا قَبْلَ ذَلِكَ مُحْسِنِينَ كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ
Maksudnya: "(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur."

Adapun Tarawih, maka ia di sisi Ulama digunakan untuk merujuk kepada solat malam yang didirikan dalam Bulan Ramadan pada awal malam beserta meraikan keringanan dan tidak terlalu dipanjangkan dan boleh sahaja dinamakan sebagai Tahajjud dan boleh dinamakan sebagai Qiyamullail, tidak ada masalah padanya, Wallahul Muwaffiq. 

Sumber: Majmuk Fatawa wa Maqalat Ibn Baz, 11/317-318]

http://www.binbaz.org.sa/mat/1025