بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على الرسول القرشي الأمين وعلى آل بيته الطاهرين وأصحابه أجمعين
أما بعد،
Pengekor Hawa nafsu daripada kalangan para "pengejar mimpi" telah melontarkan syubhat berkenaan fatwa para Ulama Besar Salafi Ahlus Sunnah wal Jamaah berkenaan hukum "Pilihanraya", maka saya terpanggil untuk menjawab tuduhan sembrono mereka ini memandangkan mereka menceroboh ke kawasan status saya.
Sebelum kita menjelaskan perincian syubhat dan jawabnya, perlu kita memahami beberapa kaedah am dan ta'sil dalam masalah ini yang mana dengan memahami perkara ini kita akan melihat kebatilan syubhat ini dengan jelas:
Pertama: Agama Islam ini dibina atas kaedah meraikan Maslahah dan Mafsadah dan menolak mafsadah didahulukan atas membawa maslahah. Kaedah ini adalah kaedah yang makruf dalam Islam dan ini merupakan keistimewaan agama ini yang merupakan wahyu Ilahi bukan ciptaan manusia.
Menolak kemudaratan dan kerosakan dan membawa kebaikan dan meraikan kemaslahatan merupakan suatu keistimewaan akal yang disedarkan hakikatnya oleh Islam dan diberi perhatian yang sewajarnya.
عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ، «أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَضَى أَنْ لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ»
Maksudnya: daripada Ubadah bin al-Samit r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah menetapkan bahawa: Tidak ada kemudaratan dan yang memudaratkan. [Ibn Majah, sahih].
Daripada hadis yang mulia ini para fuqaha' menetapkan:
الضرر يزال
Maksudnya: Kemudaratan hendaklah dihilangkan.
Para fuqaha' juga menetapkan qaedah:
دفع المضرة مقدم على جلب المصالح
Maksudnya: "Menghalang kemudaratan didahulukan atas membawa kemaslahatan".
dan jika berlawanan dua perkara mudarat sedangkan tiada maslahah yang kukuh maka hendaklah didahulukan mudarat yang teringan antara duanya. Ini berdasarkan keharusan yang diberikan syarak kepada mereka yang berada dalam keadaan kelaparan yang teramat untuk memakan daging babi yang haram pada syarak untuk menolak kemudaratan yang lebih besar iaitu Mati.
Demikian juga keharusan syarak untuk mengucapkan kalimah KUFUR jika dalam keadaan IKRAH (TERPAKSA) seperti dalam kisah 'Ammar bin Yasir r.huma.
Kedua: Syarak apabila membenarkan kita melakukan kemudaratan dalam keadaan tertentu maka diqaidkan dengan firman Allah:
غير باغ ولا عاد
Maksudnya: Tanpa melampau batas dan sengaja hendak melanggar syarak.
maka Ulama menyatakan:
الضرورة تقدر بقدرها
maksudnya: "Darurat itu dikadarkan dengan kadarnya". yakni dibenarkan kita melakukan perkara yang haram dalam keadaan darurat sekadar darurat itu sahaja. maka dibenarkan memakan babi sekadar mampu bertahan hayat tanpa melebihi had itu.
Ketiga: Hukum Asal sesuatu perkara berbeza dan berubah dalam keadaan tertentu dan situasi tertentu. misalnya: memakan babi adalah haram tetapi diharuskan syarak dalam keadaan darurat.
maka fatwa Ulama dalam situasi tertentu tidak terpakai dalam situasi yang tidak selari dengan keadaan yang fatwa itu dikeluarkan.
Keempat: Ini selari dengan kaedah fiqhiah:
الأحكام تدور مع العلة وجودا وعدما
Maksudnya: Hukum hakam itu beredar bersama 'illah sama ada wujud atau tidak (hukum itu)
Misalnya: Arak haram kerana sifatnya memabukkan, maka apabila ianya berubah menjadi cuka maka arak itu menjadi halal dan tidak lagi dinamakan arak pada syarak.
demikian juga: 'Illah disyariatkan mencegah kemungkaran adalah supaya diganti kemungkaran itu dengan perkara makruf (yang baik) namun jika tindakan mencegah kemungkaran itu membawa kepada kemungkaran yang lain bahkan yang lebih teruk maka hilang kewajipan mencegah kemungkaran bahkan bertukar menjadi haram.
maka para Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah apabila memberikan fatwa berkenaan Pilihanraya sama ada harus atau tidak maka ianya berkait rapat dengan kaedah-kaedah di atas dalam membawa kebaikan atau menolak kemudaratan.
misalnya apabila ditanya kepada al-Lajnah al-Daimah berkenaan masalah berikut:
"Adakah harus mengundi dalam pilihanraya dan mencalonkan diri untuknya? ini dalam keadaan dimaklumi negara kami tidak berhukum dengan hukum syarak".
Maka jawab para Ulama:
لا يجوز للمسلم أن يرشح نفسه رجاء أن ينتظم في سلك حكومة تحكم بغير ما أنزل الله، وتعمل بغير شريعة الإسلام، فلا يجوز لمسلم أن ينتخبه أو غيره ممن يعملون في هذه الحكومة،
إلا إذا كان من رشح نفسه من المسلمين ومن ينتخبون يرجون بالدخول في ذلك أن يصلوا بذلك إلى تحويل الحكم إلى العمل بشريعة الإسلام، واتخذوا ذلك وسيلة إلى التغلب على نظام الحكم، على ألا يعمل من رشح نفسه بعد تمام الدخول إلا في مناصب لا تتنافى مع الشريعة الإسلامية.
Maksudnya: "Tidak harus bagi muslim untuk mencalonkan dirinya dengan harapan dapat bersama-sama dalam barisan kerajaan yang tidak berhukum dengan selain hukum ALLAH dan beramal dengan selain Syariat Islam maka tidak boleh bagi seorang muslim untuk mengundinya atau selainnya yang bekerja dengan kerajaan ini melainkan jika yang mencalonkan dirinya itu daripada kalangan orang Islam dan yang memilihnya berharap dengan dia masuk dalam pilihanraya itu dia mampu untuk mengubah pemerintahan untuk beramal dengan syariat Islam dan menjadikannya sebagai wasilah untuk menguasai sistem pemerintahan dengan syarat hendaklah orang yang mencalonkan diri itu: TIDAK MELAKUKAN PERKARA YANG BERLAWANAN DENGAN SYARIAT SETELAH MENDUDUKI JAWATAN." [Fatwa Lajnah Daimah, 23/406-407].
Maka fatwa para Ulama Salafi ini bukanlah datang secara mutlak tanpa kaid bahkan dikaidkan dengan tidak disertai perkara yang berlawanan dengan syarak.
Kaid dan Syarat ini sama sekali tidak dipenuhi oleh para Politkus Islami yang menyertai pilihanraya. Ini dibuktikan dengan fatwa berikut:
Soalan: Saya berharap dapat diberikan faedah berkenaan hukum sebahagian kaum muslimin yang bersumpah dengan ALLAH untuk menghormati undang-undang buatan manusia (Qanun wadh'ie) sedangkan qanun ini berlawanan dengan Syariat Islamiah, maka adakah ianya amalan yang haram? di mana sebahagian Majlis Parlimen melakukan sumpah ini kepada Ahlinya ketika dipilih (dilantik), diharap penjelasan hukum syarak berkenaan perkara ini.
Maka Jawab al-Lajnah:
لا يجوز ذلك من غير يمين فكيف مع اليمين؟! ولا شك أنه مع اليمين يكون أشد إثما.
Maksudnya: "Tidak harus melakukan perkara ini tanpa sumpah sekalipun (yakni menghormati undang-undang menyalahi syariah) maka bagaimana pula disertai dengan sumpah? maka tidak syak ianya lebih besar dosanya". [Fatwa al-Lajnah al-Daimah, 1/791].
Kita semua maklum setiap Ahli Parlimen yang dilantik perlu melakukan angkat Sumpah ini yang merangkumi menghormati dan memelihara perlembagaan sedangkan para Politkus Islami ini pada masa kempennya menyatakan tujuan dia masuk Parlimen untuk mengubah Perlembagaan yang kufur ini.
Demikian juga amalan membentuk ahzab (partai-partai politik) yang terbina atas dasar menghimpun manusia dengan pelbagai manhaj dan akidah atas kesatuan am iaitu nama parti. Ini adalah amalan yang diharamkan dalam Islam sebagaimana yang difatwakan para Ulama Salafi [sila rujuk nota sebelum ini sudah diterjemahkan fatwa Lajnah berkenaan masalah Hizbiah ini].
Demikian juga larangan mengundi yang membawa kepada keuntungan kaum Kafir sebagaiman yang ditanyakan kepada al-Lajnah al-Daimah:
"Apakah boleh seseorang muslim mengundi dan memberikan undinya yang membawa keuntungan kepada kaum kafir?"
jawapan: "Tidak boleh mengundi yang membawa kepada keuntungan kaum Kafir kerana perkara itu mengandungi memuliakan mereka dan mengangkat kedudukan mereka dan membuka jalan kepada mereka untuk berkuasa atas orang Islam". [Fatwa al-Lajnah al-Daimah, 1/790].
Hari ini kita dapati para parti Islam sama sekali tidak menepati dawabit dan syarat yang ditetapkan para Ulama Salafi ini yang diketuai Imam Ibn Baz r.h.
- Mereka Tidak bersatu atas manhaj Salaf bahkan dalam kalangan mereka bahkan pimpinan utama mereka itu ada antaranya sufi musyrik dan Rafidah yang zindiq.
- Mereka memusuhi dakwah Salafiah (rujuk nota sebelum ini berkenaan hukum Parti Islam tetapi benci Dakwah Salafiah).
- Mereka bekerjasam dengan kaum kafir dalam perkara yang menguntungkan kaum kafir ini dengan meredai pakatan mereka diketuai oleh seorang yang fasiq. (kemudian mereka menyangka dapat menyingkirkan pemerintah yang fasiq dengan cara ini, apakah dikatakan mencegah kemungkaran jika fasiq diganti dengan fasiq? )
Adapun fatwa Faqih al-Zaman Ibn Usaimin r.h berkenaan pilihanraya dan ianya wajib hanya dibina atas dasar maslahah yang dikehendaki pada masa itu kerana beliau membincangkan persoalan Ihya' al-Turas di Kuwait yang mahu menyertai pilihanraya dan maklum Ihya turas (ketika itu) menzahirkan mereka berkumpul atas Manhaj Salaf dan tidak melakukan mukhalafat yang dinyatakan di atas.
Jelas pada awal fatwa beliau, beliau menyatakan: Jika ahli khair (kebaikan) tidak mendudukinya maka ianya akan diduduki oleh Ahli Kejahatan.
Ini merupakan dasar beliau mengharus bahkwan mewajibkan pilihanraya iaitu membandingkan maslahah dan mafsadah. Jika beliau melihat mafsadah yang muncul di zaman sekarang kesan Pilihanraya sudah tentu beliau akan mengeluarkan fatwa yang berlawanan sama sekali dengan fatwa di atas.
Adapun Syeikh Soleh al-Fauzan -hafizahullah- berikut adalah fatwa beliau:
"adapun pilihanraya yang dikenali pada zaman sekarang di negara-negara sekarang maka ianya BUKAN SISTEM ISLAM DAN DIMASUKI OLEH KETIDAK STABILAN DAN KEPENTINGAN PERIBADI DAN KETAMAKAN PERIBADI DAN TERJADI DARIPADANYA FITNAH-FITNAH DAN PERTUMPAHAN DARAH DAN TIDAK TERTUNAI DENGANYA MAKSUD BAHKAN SUDAH MENJADI RUANG UNTUK LELONG MELELONG DAN JUAL BELI DAN DAKWAAN-DAKWAAN DUSTA". [Min Mafasid al-Intikhabat, ms 56-57].
Maka dakwaan pengekor hawa nafsu bahawa Syeikh Soleh al-Fauzan "MEWAJIBKAN" pilihanraya adalah dusta yang terang dan jelas.
Maka apabila melihat waqi' sekarang yang sama sekali tidak menepati kehendak dan syarat yang diletakkan para Ulama untuk membolehkannya pilihanraya maka para Ulama kemudiannya memfatwakan secara mutlak ianya haram kerana mera'ikan waqi' dan meraikan makna dan maksud fatwa bukan semata-mata mengambil zahir pernyataan kemudian digunakan untuk kepentingan peribadi seperti pengekor hawa nafsu.
Adapun sistem DEMOKRASI yang menjadi tunjang kepada Pilihanraya maka tidak ada khilaf dalam kalangan Ulama ini bahawa ianya sistem asing dan kufur kerana meletakkan pemerintahan pada rakyat bukan pada ALLAH. Fatwa-fatwa Ulama Salafi berkenaan haram dan kufurnya berhukum dengan selain hukum ALLAH adalah terlalu masyhur untuk disebutkan.
[sebagai misal rujuk nota: berkenaan adalah harus menyertai parti politik dalam keadaan tertentu, jelas demokrasi termasuk parti bukan Islam di sisi al-Lajnah al-Daimah demikian juga rujuk Kitab syeikh Abdul Muhsin al-'Abbad hafizahullah khusus berkenaan demokrasi].
Maka jelas daripada ini, bahawa fatwa Ulama berhubung pilihanraya adalah termasuk fatwa dalam nazilat (yakni kes-kes yang mendatang) bukan dalam asal hukum pilihanraya itu sendiri iaitu mendaulatkan sistem demokrasi.
Maka jelas daripada sini mukhalafah para aktivis politik dengan Fatwa para Ulama yang mengharuskan pilihanraya kerana pada mereka hendaklah pilihanraya itu dijadikan wasilah semata-mata bukan tujuan dan matlamat iaitu menegakkan demokrasi seperti yang dilaungkan para Haraki dewasa ini.
Ulama yang mengharuskan pilihanraya tidak lebih seumpama fatwa menghalalkan babi bagi orang yang dalam keadaan darurat.
Apa pun, dakwah salaf seperti yang ditegaskan para Ulama dibina atas dasar Tasfiah dan Tarbiah bukan menyibukkan diri dengan fitnah politik dan merebut kekuasaan. Ini sebesar-besar dalil bahawa mereka tidak mengharuskan pilihanraya dari awalnya tetapi atas keadaan dan situasi tertentu sahaja.
Hal ini sering ditegaskan oleh syeikh Abdul Muhsin al-'Abbad hafizahullah apabila memberikan fatwa berkenaan pilihanraya dan keharusannya dalam keadaan tertentu sebagaimana yang disampaikan kepada kami anak-anak murid beliau yang melazimi beliau (yang lebih senior dari kami di Uni Islam ini).
Perlu diketahui juga, apabila kita menyatakan parti PAS di Malaysia sebagai Khawarij, bukanlah kerana dia menyertai pilihanraya semata-mata tetapi kerana fikrah Takfir tanpa mengikut dawabit yang ada padanya, kerana bidaah-bidaah yang ada padanya (semua Ahli Bidaah adalah Khawarij pada istilah 'aam), kerana tindak tanduk mereka mengapi-apikan rakyat melawan pemerintah yang sah semasa diluar musim pilihanraya dan lain-lain lagi tindak tanduk mereka yang jelas kepada mereka yang ada kefahaman salaf yang tulen sebagai ciri-ciri Khawarij.
Ciri-ciri Khawarij tidak terhad pada melawan pemerintah semata-mata tetapi disertai dengan itktiqad tertentu kerana di sana ada segolongan lagi golongan yang melawan pemerintah atas dasar takwil yang dinamakan Bughah dan mereka sama sekali bukan Khawarij bahkan mereka ini tidak lebih terjebak dalam maksiat bukan bidaah berbeza dengan Khawarij.
Maka Khawarij adalah Khawarij dahulu kini dan selamanya selama mereka berakidah dengan akidah-akidah bidaah mereka walaupun mereka berjaya menduduki takhta raja sekalipun berbeza dengan bughah apabila dia berjaya menawan kerajaan maka dia tidak lagi dinamakan bughah.
Oleh itu, fahami dua jenis golongan ini maka kamu akan terlepas dari syubhat yang besar insya-ALLAH.
Akhir kata, semoga penjelasan yang agak tergesa-gesa ini memberikan serba pencerahan kepada kita atas syubhat yang ditimbulkan. wallahu waliyyut taufiq.
وصلى الله على محمد وعلى آله وصحبه وسلم
DERMAWAR SALAFI [Ahlus Sunnah Tetap Akan Berjaya Hingga Kiamat!]
