Wednesday, February 1, 2012

KERANA CINTA…AKU TOLAK MAULID!!

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI



Apabila tibanya bulan Rabiul Awwal terutama 12 Rabiul Awwal, kebanyakan negara Islam dan umatnya akan menyambut perayaan yang mereka warp-warkan sebagai lambang kecintaan mereka kepada Rasul mereka, Muhammad s.a.w iaitulah perayaan Maulid Nabi atau Kelahiran Rasulullah s.a.w.


Pada hari tersebut ramailah manusia yang bernama muslim akan berarak, berselawat, bahkan ada yang menyanyi dan menari dengan nama cinta kepada Rasulullah s.a.w. 


Namun, apakah erti sebenarnya cinta kepada Rasulullah s.a.w? Bagaimanakah pula hukumnya mereka yang tidak menyambut maulid ini?Adakah mereka kafir atau fasiq kerana tidak cinta kepada Rasulullah s.a.w ? Maka dalam rangka merungkai persoalan ini kita perlu memahami beberapa perkara berikut:


Pertama: Cinta Rasulullah s.a.w adalah Iman


Sabda Rasulullah s.a.w:


لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ مَالِهِ وَأَهْلِهِ ، وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ


Maksudnya: “Tidak (sempurna) Iman seseorang kamu sehinggalah aku menjadi orang yang paling dia cintai melebihi hartanya, keluarganya, dan manusia lain sekaliannya”. [al-Bukhari & Muslim].

Oleh itu, kecintaan kepada Rasulullah s.a.w bukanlah perkara yang boleh dimain-mainkan tetapi perlu direalisasikan dengan benar dalam hati dan dizahirkan melalui anggota.


Kecintaan kepada Rasulullah s.a.w sebagaimana yang dinyatakan para Ulama ada cinta ikhtiari yang diusahakan oleh seorang mukmin melalui mengikut jejak langkah dan sunnah baginda bukan semata-mata cinta tabii kerana jika dapat lihat bagaimana Abu Talib, antara manusia yang sangat cintakan Rasulullah s.a.w namun dia termasuk ahli neraka. Kenapa? Kerana dia hanya cintakan Rasulullah s.a.w sebagai anak saudaranya dan keluarganya bukan sebagai Rasul (utusan) daripada Allah dan mengikut ajarannya.


Kedua: Cinta Nabi itu Ibadah dan Sahabat adalah Ikutan Terbaik Padanya


Apabila kita telah memahami cinta Nabi itu Iman dan bukan sekadar cinta tabii, maka kita dengan sendirinya faham cinta Nabi itu Ibadah khusus yang diberi ganjaran pahala padanya dan syarak telah menentukan caranya.


Kita perlu juga faham, dalam melaksanakan ibadah, para Sahabat adalah golongan yang paling layak untuk diikuti atas sabda Nabi s.a.w:


خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِيءُ أَقْوَامٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ


Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah (yang hidup) dalam kurunku, kemudian yang datang selepas mereka, kemudian yang datang selepas mereka, kemudian akan ada kaum yang kesaksian mereka mendahului sumpah mereka, dan sumpah mereka mendahului kesaksian mereka”. [al-Bukhari & Muslim].


Ulama Hadis menyatakan yang dimaksudkan dengan kurun Nabi s.a.w adalah para Sahabat baginda, kemudian yang mengikut mereka adalah Tabiin dan kemudian Tabi Tabiin dan tiga kurun ini dikenali sebagai al-Salaf al-Soleh (Para Pendahulu Yang Baik) sebagaimana dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w bersabda:


يَأْتِي زَمَانٌ يَغْزُو فِئَامٌ مِنْ النَّاسِ فَيُقَالُ فِيكُمْ مَنْ صَحِبَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيُقَالُ نَعَمْ فَيُفْتَحُ عَلَيْهِ ثُمَّ يَأْتِي زَمَانٌ فَيُقَالُ فِيكُمْ مَنْ صَحِبَ أَصْحَابَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيُقَالُ نَعَمْ فَيُفْتَحُ ثُمَّ يَأْتِي زَمَانٌ فَيُقَالُ فِيكُمْ مَنْ صَحِبَ صَاحِبَ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيُقَالُ نَعَمْ فَيُفْتَحُ


Maksudnya: “Akan datang zaman di mana satu kelompok (tentera) berjihad lalu dikatakan kepada mereka: ‘Adakah antara kamu orang yang bersahabat dengan Nabi s.a.w?’ Maka dijawab: Ya; maka diberi kemenangan kepada mereka. Kemudian datang pula zaman di mana (mereka berjihad) lalu dikatakan: ‘Adakah dalam kalangan kamu orang bersahabat dengan sahbat Nabi s.a.w?’ dijawab: Ada. Maka diberi kemenangan kepada mereka. Kemudian datang pula zaman dikatakan kepada mereka: ‘Adakah dalam kalangan kamu orang bersahabat dengan sahabat kepada sahabat Nabi s.a.w?’ maka dijawab: Ada. Maka diberi mereka kemenangan”. [al-Bukhari & Muslim]. 


Kita diwajibkan untuk mengikut jejak langkah mereka sebagaimana sabda Nabi s.a.w:


وتفترق أمتي على ثلاث وسبعين ملة كلهم في النار إلا ملة واحدة قالوا ومن هي يا رسول الله قال ما أنا عليه وأصحابي


Maksudnya: “Umatku akan berpecah kepada 73 golongan yang semuanya dalam neraka kecuali satu”. Sahabat bertanya: “Siapakah mereka (yang satu terselamat)?” Jawab baginda: “Golongan yang mengikut aku dan para Sahabatku”. [al-Tarmizi, hasan]. 


Disebabkan Sahabat adalah manusia yang sangat cintakan Nabi s.a.w maka segala tindakan Sahabat adalah lambang kecintaan yang paling sempurna terhadap Rasulullah s.a.w kemudian diikuti Tabiin kemudian Tabi Tabiin. 


Amalan yang ikhlas namun tidak terdapat contoh daripada tiga kurun ini dalam urusan akidah dan ibadah serta hukum hakam dianggap bukanlah amalan yang benar dan tidak diterima syariat. Analogi mudahnya, seorang yang sangat rajin beribadah dan mengharap pahala berganda daripada Allah s.w.t lalu dia melakukan solat subuh 4 rakaat dengan sengaja, maka dengan ijmak umat solatnya batal dan tidak sah. Keikhlasan yang ada padanya tidak cukup menjadi alasan untuk dia menambah atau mengurang apa yang telah Allah s.w.t tetapkan.


Ketiga: Sikap Ghuluw Adalah Dilarang


Ghuluw atau melampau dalam melakukan sesuatu urusan agama sehingga terkeluar daripada landasan syariat adalah dilarang. Emosi dan perasaan tidak menjadi salah satu sumber agama Islam. Sebab itu kita jelaskan cinta kepada Rasulullah s.a.w bukanlah cinta emosi seperti anak yang cintakan ibunya atau suami yang cintakan isterinya tetapi ia adalah cinta yang diusahakan menurut lunas-lunas syarak.


Sabda Rasulullah s.a.w:


لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ


Maksudnya: “Janganlah kamu mengagung-agungkan aku seperti mana kaum Nasrani mengagung-agungkan Ibn Maryam (Nabi Isa a.s), sesungguhnya aku adalah hambaNya maka katalah: Hamba Allah dan RasulNya”. [al-Bukhari & Ahmad].


Maka perbuatan kaum Nasrani yang menjadikan Isa a.s sebagai salah satu Unsur Tuhan bukanlah mereka lakukan kerana benci kepada Isa a.s tetapi kerana terlalu sayangkan baginda namun perbuatan melampau mereka ini menjadikan mereka musyrik dan kafir-nauzubillah min zalik- maka kita dilarang bersikap ghuluw atau melampau dalam mencintai Rasulullah s.a.w sehingga kita melakukan perkara yang pada emosi kita adalah tanda cinta kita kepada Rasulullah s.a.w tetapi pada pandangan Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w sebagai terkeluar daripada batas syariat.


Antara contoh sikap melampau umat terdahulu yang dilarang syarak sebagaimana firman Allah s.w.t:


ثُمَّ قَفَّيْنَا عَلَى آثَارِهِمْ بِرُسُلِنَا وَقَفَّيْنَا بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَآتَيْنَاهُ الْإِنْجِيلَ وَجَعَلْنَا فِي قُلُوبِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً وَرَهْبَانِيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهِمْ إِلَّا ابْتِغَاءَ رِضْوَانِ اللَّهِ فَمَا رَعَوْهَا حَقَّ رِعَايَتِهَا فَآتَيْنَا الَّذِينَ آمَنُوا مِنْهُمْ أَجْرَهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ


Maksudnya: “kemudian Kami iringi sesudah – mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa Ibni Maryam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri). dan (perbuatan mereka beribadat secara) “Rahbaniyyah” merekalah sahaja yang mengadakan dan mereka-rekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (Mereka berbuat demikian) kerana mencari keredaan Allah; Dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, Kami berikan pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik – derhaka”. [al-Hadid: 27].


Dalam ayat ini, Allah s.w.t menerangkan kepada kita sistem Rahib atau Paderi yang diadakan dalam agama Nasrani bukanlah berasal daripada syariat Nabi Isa a.s tetapi bidaah atau rekaan pengikut selepas baginda atas emosi mereka yang terlalu cintakan Allah s.w.t dan ingin beribadat, namun akhirnya kerana ibadat tersebut bukanlah daripada Allah s.w.t maka mereka gagal mengikut sistem ciptaan mereka sendiri dan menyalah gunakannya. 


Imam Ibn Kasir r.h menyatakan Allah s.w.t mencela kaum Nasrani dalam ayat ini atas dua perkara:


Pertama: Mereka membuat rekaan dan ciptaan dalam urusan ibadat
 

Kedua: Mereka menyalahgunakan bidaah tersebut yang pada asalnya menurut dakwaan mereka untuk beribadah kepada Allah s.w.t. [Ibn Kasir, 8/29].


Keempat: Apa Yang Nabi s.a.w Tinggalkan Adalah Sunnah Juga Ditinggalkan


Perkara yang perlu kita ketahui juga, sunnah bukan sahaja berlaku dalam perkara yang Nabi s.a.w lakukan, bahkan apa yang baginda dan para Sahabat r.a tinggalkan.  Dalam Usul Fiqah dinyatakan:


ترك النبي صلى الله عليه وسلم لفعل ما مع وجود المقتضي له وانتفاء المانع يدل على أن ترك ذلك الفعل سنة وفعله بدعة


Maksudnya: “Perbuatan Nabi s.a.w meninggalkan sesuatu perbuatan dalam keadaan wujudnya keperluan terhadap perkara tersebut dan tiadanya halangan menunjukkan meninggalkan perbuatan tersebut adalah sunnah dan melakukannya adalah bidaah”. [Min Usul al-Fiqh Inda Ahli al-Hadis, 1/82].


Maka, perbuatan yang ada keperluan di zaman Nabi s.a.w seperti azan untuk solat hari raya misalnya ada keperluan untuk dilakukan bagi menyeru manusia ke musolla dan tiada pula yang mengahalang Nabi s.a.w melakukannya namun Nabi s.a.w tidak melakukannya maka difahami azan untuk solat eid tidak disyariatkan bahkan melakukannya adalah dilarang oleh sebab Ulama telah ijmak tidak disyariatkan azan untuk solat eid dan meninggalkan azan sewaktu solat eid itu adalah sunnah yang disebut sebagai Sunnah Tarkiyah.


Perbuatan yang Nabi s.a.w tinggalkan kerana tiada keperluan di zaman baginda seperti mengumpul al-Qur’an dalam mushaf atau kerana ada halangan seperti solat terawih berjemaah kerana ditakuti diwajibkan oleh Allah s.w.t lalu umat akhir zaman akan lemah melakukannya, maka perbuatan ini apabila wujud keperluan selepas zaman baginda atau hilang penghalangnya maka boleh dilakukan dan tidak menjadi bidaah.


Kelima: Perayaan Adalah Tauqifi dan Dilarang Tasyabuh


Perayaan dalam Islam adalah terhad kepada apa yang dinaskan oleh syarak sebagaimana dalam hadis:


عن أنس قال قدم رسول الله صلى الله عليه و سلم المدينة ولهم يومان يلعبون فيهما فقال ” ما هذان اليومان ” ؟ قالوا كنا نلعب فيهما في الجاهلية فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم ” إن الله قد أبدلكم بهما خيرا منهما يوم الأضحى ويوم الفطر “


Maksudnya: Daripada Anas bin Malik r.a katanya: ‘Rasulullah s.a.w tiba di Madinah dan bagi penduduknya mempunyai dua hari yang mereka berlibur (bersuka ria) padanya’. Sabda Nabi s.a.w: “Apakah dua hari ini?” Jawab mereka: ‘Adalah kami di zaman Jahiliah bersuka ria padanya’. Maka sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan dua hari yang lebih baik iaitu perayaan al-Adha (Korban) dan al-Fitri (Raya Puasa)”. [Abu Daud, Ahmad].


Hadis ini menunjukkan bahawa perayaan dalam Islam adalah hak syariat, tidak boleh seseorang menjadikan apa-apa hari sebagai sambutan yang berulang-ulang terhadap sesuatu perkara melainkan ada nas syarak dan syarak pula telah menghadkan perayaan itu kepada dua sahaja dalam setahun iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Puasa.


Demikian juga Nabi s.a.w melarang kita meniru gaya hidup kaum kafir sama ada ibadat mahupun adat. Sabda Nabi s.a.w:


من تشبه بقوم فهو منهم


Maksudnya: “Sesiapa yang meniru sesuatu kaum maka dia termasuk kaum tersebut”. [Abu Daud, Jayyid].


Para Ulama telah ijmak dilarang kaum muslimin meniru gaya hidup kaum kafir dan terutama dalam perayaan mereka. Sebagaimana kami jelaskan dalam risalah sebelum ini, dilarang keras kita menyertai kaum kafir dalam perayaan mereka walaupun sekadar mengucap selamat.


Kedudukan Maulid Nabi s.a.w:


Apabila kita melihat kepada kaedah-kaedah yang kita nyatakan di atas, maka kita dapati perayaan Maulid Nabi s.a.w adalah dilarang dalam syariat dan bukanlah lambang kecintaan kepada Nabi s.a.w yang sebenar.  Ini kerana Maulid Nabi s.a.w bukanlah berasal daripada Umat Islam tetapi ciptaan kaum Ismailiah yang menjajah Mesir suatu ketika dahulu yang dikenali juga sebagai kerajaan Fatimiah. Ulama telah bersepakat Syiah Ismailiah terkeluar daripada Islam yakni kafir. 


Demikian juga perayaan Maulid Nabi s.a.w merupakan penambahan terhadap perayaan yang telah ditetapkan dan ini termasuk ghuluw dalam ibadah kerana mereka cipta perayaan tanpa nas yang jelas.


Dakwaan bahawa menyambut perayaan Maulid sebagai tanda kecintaan kepada Nabi s.a.w adalah batil kerana ciri-ciri syar’i cinta kepada Rasulullah s.a.w itu adalah mengikut sunnah baginda bukan menambah dan mereka cipta ibadah yang tidak ada asal daripada syariat. Sabda Nabi s.a.w:


مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ


Maksudnya: “Sesiapa yang mencipta perkara baharu dalam urusan (agama) kami yang tidak ada asal daripadanya maka amalan itu tertolak”. [al-Bukhari & Muslim].


Oleh itu, ketahuilah bahawa kami, Ahli Sunnah wal Jamaah yang menolak amalan sambutan Maulid Rasulullah s.a.w ini adalah kerana kami terlalu cintakan baginda dan sunnah baginda bukanlah kerana kami benci atau tidak suka tetapi memang kami terlalu benci terhadap amalan yang menyalahi sunnah baginda dan al-Salaf al-Soleh. Wallahua’lam.

link asal :  http://mashoori.wordpress.com/2009/02/14/kerana-cintaaku-tolak-maulid/

Wednesday, January 18, 2012

"TIDAK PATUT ULAMA' BERTELAGAH SESAMA MEREKA!!"

Daripada Imam 'Asim bin Sulaiman al-Ahwal r.h [w.142 H] beliau berkata:

جلست إِلَى قتادة فذكر عَمْرو بْن عُبَيد فوقع فيه ونال منه فقلت أبا الخطاب ألا أرى العلماء يقع بعضهم فِي بعض

"Aku duduk bersama Qatadah (ibn Di'amah al-Sadusi, w.118 H) maka beliau menyebut berkenaan 'Amru bin 'Ubaid (ibn Bab –salah seorang pengasas ajaran Muktazilah, w.143 H) lalu beliau (Qatadah) mencelanya ('Amru) dan mengutuknya. Maka aku ('Asim) berkata: "Wahai Abul Khattab (yakni: Qatadah), aku melihat tidak sepatutnya para Ulama' saling cela mencela sesama mereka!!".

Maka kata beliau (Qatadah) r.h:

يا أحول أولا تدري أن الرجل إذا ابتدع بدعة ينبغي لها أن تذكر حتى يحذر

"Wahai si Juling (Ahwal), apakah kamu tidak tahu bahawa seseorang itu jika dia melakukan bidaah maka hendaklah ianya disebut (dikritik) sehingga dia dijauhi".

[Sumber: al-Kamil li al-Dhu'afaa oleh Ibn 'Adi, 6/175, Mizan al-I'tidal oleh Al-Zahabi, 3/273]

Catatan:

*Mereka yang menyeru kepada bidaah perlu ditahzir dan dicegah orang-ramai daripada mengambil ilmu daripadanya walaupun dia seorang Ahli Ilmu dan Ibadah. 'Amru bin 'Ubaid bin Bab merupakan bekas murid Imam al-Hasan bin Abil Hasan al-Basri r.h [w.110 H] dan merupakan seorang Ahli Zuhud dan 'Ibadah sehingga dipuji oleh Khalifah Abu Jaafar al-Mansur r.h (Khalifah 'Abbasiah yang kedua) kerana sikap kezuhudannya, namun kata al-Zahabi r.h:

"Beliau (Abu Jaafar) tertipu dengan kezuhudannya dan keikhlasannya namun melupakan Bidaah yang dilakukannya". [Al-Siyar, 6/105].

Demikian sikap para Ulama' al-Salaf rahimahumullah di mana mereka sangat tegas dengan Ahli Bidaah dan tidak bermudah-mudah dengan mereka walaupun pada pandangan awam mereka ini Ahli 'Ilmu dan Ahli Ibadah atau sebagainya.

Ingatlah kata-kata Ulama' besar Ahlus Sunnah wal Jamaah, Imam Abu Muhammad Hasan al-Barbahari r.h [w. 329 H] dalam kitab beliau yang sangat berharga:

ومن خالف الكتاب والسنة فهو صاحب بدعة، وإن كان كثير العلم والكتب
Maksudnya: "dan barangsiapa yang menyelisihi al-Kitab dan al-Sunnah maka dia adalah Ahli Bidaah walaupun dia memiliki Ilmu dan Kitab yang banyak".
Maka, ikutilah jejak langkah Salafus Soleh kerana pada mereka itu terdapat kebaikan yang sebenarnya. Wallahul Muwaffiq.

Ditulis oleh;
Muhammad Asrie bin Sobri
Kuliah Dakwah dan Usuluddin, Uni. Islam Madinah Nabawiah.
24 Safar 1433 H.

Masalah Tabarruk

Kata Fadilatu al-Syaikh Soleh bin Fauzan al-Fauzan –hafizahullah, Ahli Lajnah Tetap bagi Fatwa dan Kajian Ilmiah Arab Saudi -:

Boleh jadi dikatakan: "Kamu mengharamkan tabarruk (mengambil berkat) daripada pokok, batu, dan kubur sedangkan para Sahabat radiallahu 'anhum adalah mereka bertabarruk dengan air liur Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam, peluh baginda, rambut baginda, dan wuduk baginda; bukankah ini termasuk Tabarruk dengan makhluk?"

Maka Jawapan bagi perkara ini: Bahawa ini khusus dengan Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam dan dengan apa yang terpisah daripada jasad baginda kerana ia diberkati seperti air liur, peluh, rambut, atau wuduk, maka ianya boleh untuk bertabarruk dengannya, adapun bertabarruk dengan selain Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam maka ini tidak pernah ada (tidak diriwayatkan) walaupun dengan orang-orang yang afdal daripada Umat seperti Abu Bakar, Umar, Usman, Ali, sepuluh Sahabat yang dijanjikan Syurga, Ahli Badar, dan Ahli Bai'at al-Ridwan, tidak pernah dinyatakan adanya kaum muslimin (Salafus Soleh) bertabarruk dengan mereka ini, tidak dengan air liur mereka, peluh mereka, dan tidak pula rambut mereka.

Maka Tabarruk Tidak Boleh; tidak boleh sama ada dengan pokok, batu, orang, Hujrah Nabawiah, atau Kubur Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam, semua ini Tidak boleh (bertabarruk dengannya) kerana semua ini bukanlah benda yang terpisah daripada (jasad) Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam dan bukan pula daripada jasad baginda sallallahu 'alaihi wa sallam, maka kita mesti mengetahui jawapan berkenaan syubhat-syubhat ini kerana mereka (kaum Sufi dan Ahli Bidaah) berdalih dengannya.

[Sumber: I'anatul Mustafid bi Syarhi Kitab al-Tauhid, jil 1, m.s 154, cet. Muassasah al-Risalah Nasyirun, cet.1, 2007].

Terjemahan: Muhammad Asrie bin Sobri, Kuliah Dakwah dan Usuluddin, Uni. Islam Madinah Nabawiah, Arab Saudi.

24 Safar 1433 H/18/1/2012 M

Sunday, January 15, 2012

KEWAJIPAN MENTAUHIDKAN ALLAH DALAM KETAATAN

Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri
Universiti Islam Madinah Nabawiah, Arab Saudi

Ucapan Syahadah yang diucapkan seorang muslim mengandungi ikrar dan pengakuan terhadap ketunggalan ALLAH s.w.t sebagai ILAH yakni yang berhak disembah dan ditaati dengan sepenuh kecintaan, pengharapan, ketakutan, ketundukan, dan kepatuhan.

Demikian pula Syahadah bahawa Muhammad adalah Rasul ALLAH membawa maksud segala hukum hakam dan Syariat daripada ALLAH s.w.t adalah apa yang disampaikan dan diajarkan oleh Muhammad Rasul (Utusan) ALLAH s.w.t, tiada yang berhak diikuti dan ditaati secara mutlak dalam kalangan makhluk kecuali Rasulullah s.a.w kerana baginda adalah Utusan daripada ALLAH yang tidak bercakap melainkan dengan wahyu daripada ALLAH.
Kelaziman dan di antara kandungan Tauhid al-Uluhiah (mengesakan ALLAH dalam Ibadat) adalah mentaati ALLAH s.w.t dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun daripada makhluk-Nya dalam ketaatan dan tidak mengambil selain ALLAH s.w.t sebagai pembuat hukum dan undang-undang.

Dalil kewajipan mentauhidkan ALLAH s.w.t dalam Tasyri’ (membuat hukum) adalah banyak sekali daripada al-Quran dan al-Sunnah di antaranya:

Dalil Pertama:

Firman ALLAH s.w.t dalam Surah Ali Imran ayat ke-32:

قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Rasul): Taatlah kamu kepada ALLAH dan Rasul-Nya, maka barangsiapa yang berpaling (enggan mentaati ALLAH dan Rasul-Nya) maka sesungguhnya ALLAH tidak mencintai orang-orang yang kafir”.

Kata Imam Abdul Rahman bin Nasir al-Sa’di r.h [w.1376 H] dalam Tafsir beliau:

“Ini adalah perintah ALLAH kepada para hamba-Nya dengan perintah yang paling umum iaitulah supaya mentaati (mematuhi)-Nya dan Rasul-Nya yang mana termasuk dalamnya Iman dan Tauhid dan apa yang merupakan cabang-cabangnya daripada amalan-amalan dan perkataan-perkataan yang zahir dan batin bahkan termasuk (dalam erti kata) mentaati-Nya dan mentaati Rasul-Nya adalah menjauhi apa yang dilarang kerana menjauhi perkara yang dilarang sebagai satu kepatuhan kepada perintah ALLAH merupakan ketaatan kepada-Nya maka barangsiapa yang mentaati ALLAH dan RasulNya maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. [Maka barangsiapa yang berpaling] yakni: berpaling daripada mentaati ALLAH dan Rasul-Nya maka tiada lagi di sana untuk dirujuk keadaannya melainkan sebagai suatu kekufuran dan mentaati Syaitan yang derhaka.” [Taisir al-Karim al-Mannan, m.s 128].


Dalil Kedua: 

Firman ALLAH s.w.t dalam Surah al-Nisaa’ ayat ke-59:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah (patuhlah) kepada ALLAH dan patuhlah kepada Rasul serta orang-orang yang berkuasa dalam kalangan kamu, jika kamu berselisih pandangan dalam suatu perkara maka kembalikanlah kepada ALLAH dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman dengan ALLAH dan Hari Akhirat demikian itu adalah sebaik-baik penyelesaian”.

Para Mufassirun (Ulama’ Tafsir al-Quran) menyatakan dalam ayat ini ALLAH mengulang perintah: (Taatlah) pada Rasul tetapi tidak pada Ulil Amri (pemerintah dan ulama’) kerana ketaatan kepada Pemerintah dan Ulama’ tidaklah mutlak tetapi bersyarat iaitu selagi mana perintah mereka tidak berlawanan dengan perintah ALLAH dan Rasul, adapun ketaatan kepada Rasul adalah mutlak kerana baginda tidak memerintahkan sesuatu melainkan ianya adalah Wahyu daripada ALLAH sebagaimana ALLAH berfirman:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى (4)

Maksudnya: “Dan tidaklah dia (Rasulullah s.a.w) berkata-kata berdasarkan hawa nafsu tetapi ia adalah Wahyu yang diwahyukan kepadanya”. [Al-Najm: 3-4].

Sabda Rasulullah s.a.w :

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ الطَّاعَةُ، فِيمَا أَحَبَّ أَوْ كَرِهَ، إِلَّا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya: “Wajib atas setiap muslim itu mentaati (pemerintah) dalam perkara yang dia sukai dan yang dibenci melainkan jika dia diperintahkan untuk melakukan maksiat maka jika dia diperintahkan dengan kemaksiatan maka tidak boleh dia dengar dan tidak boleh dia taati (dalam perkara maksiat itu)”. [HR Ashab al-Sunan dan Ahmad].

Dalil Ketiga: 

Firman ALLAH s.w.t dalam Surah al-Ahzab ayat ke-36:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا
Maksudnya: “dan tidaklah patut bagi seorang mukmin dan tidak pula bagi seorang mukminah jika ALLAH dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu keputusan lalu mereka mempunyai pilihan (selain dari hukum ALLAH dan Rasul) dalam urusan mereka, barangsiapa yang menderhaka kepada ALLAH dan Rasul-Nya maka dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata”.

 Kata al-Hafiz Ibn Katsir r.h [w.774 H] dalam Tafsir beliau:

“Maka ayat ini adalah umum dalam semua urusan, iaitu apabila ALLAH dan RasulNya telah memutuskan suatu hukum maka tiada lagi hak bagi sesiapa pun menyelisihinya dan tiada lagi pilihan lain, tiada lagi pendapat  dan perkataan (selainnya)”. [Tafsir al-Quran al-Azim, 6/423]

Demikian juga terdapat ayat-ayat yang mencela perbuatan mengambil hukum dan menjadikan hukum makhluk mendahului hukum ALLAH dan Rasul-Nya serta ALLAH menamakan mereka yang melakukan perkara ini sebagai Syirik:

Pertama: Firman ALLAH dalam Surah al-Nisaa’ ayat 60-61:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا (60) وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودًا (61)

Maksudnya: “Apakah kamu tidak melihat kepada mereka yang menyangka mereka itu beriman dengan apa yang diturunkan kepada kamu (wahai Rasul) dan apa yang diturunkan sebelum kamu lalu mereka hendak berhukum kepada para Thaghut sedangkan mereka diperintahkan supaya kufur dengannya, dan syaitan mengekehendaki untuk menyesatkan mereka dengan kesesatan yang jauh. Dan apabila diseru kepada mereka datanglah kemari (berhukum) dengan apa yang ALLAH telah turunkan kepada Rasul maka engkau melihat kaum Munafiq itu berpaling daripada engkau dengan sepenuh palingan”.

Kata Al-Hafiz Ibn Katsir r.h:

“Ini adalah pengingkaran ALLAH Azza wa jalla atas mereka yang mendakwa beriman dengan apa yang ALLAH turunkan kepada Rasul-Nya dan kepada Nabi-nabi terdahulu lalu mereka hendak berhukum dalam menyelesaikan pertelingkahan mereka kepada selain Kitab ALLAH dan Sunnah Rasul-Nya …”

Kemudian beliau menyatakan Sebab Turunnya ayat berkenaan kaum munafiqin yang hendak berhukum kepada Ka’ab al-Asyraf (ketua Yahudi) dan enggan berhukum kepada Rasulullah s.a.w atau hendak berhukum kepada hukum Jahiliah. Lalu kata beliau:

“dan ini lebih umum daripada itu semua, sesungguhnya ia adalah celaan kepada sesiapa sahaja yang berpaling daripada Al-Kitab dan al-Sunnah kepada selain keduanya daripada kebatilan dan itulah (hukum-hakam selain daripada al-Quran dan al-Sunnah) yang dimaksudkan sebagai Thaghut dalam ayat ini”. [2/346]

Kedua: Firman ALLAH Ta’ala dalam surah al-Taubah ayat ke-31:

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksudnya: “Mereka mengambil Ulama-Ulama’ mereka dan Ahli Ibadat mereka sebagai Tuhan-tuhan selain ALLAH demikian juga mereka menjadikan al-Masih anak Maryam (sebagai Tuhan selain ALLAH) sedangkan mereka tidak diperintahkan melainkan hanya untuk beribadat kepada Ilah (sembahan) yang satu, Tiada sembahan yang berhak disembah selain Dia Maha Suci Dia daripada apa yang mereka sekutukan”. 

Perbuatan kaum Yahudi dan Nasrani menyembah Ulama-ulama mereka dan Ahli Ibadat ditafsirkan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis berikut:

عن عدي بن حاتم قال: أتيت رسولَ الله صلى الله عليه وسلم وفي عُنُقي صليبٌ من ذهب، فقال: يا عديّ، اطرح هذا الوثنَ من عنقك! قال: فطرحته، وانتهيت إليه وهو يقرأ في “سورة براءة”، فقرأ هذه الآية: (اتخذوا أحبارهم ورُهبانهم أربابًا من دون الله) ، قال قلت: يا رسول الله، إنا لسنا نعبدُهم! فقال: أليس يحرِّمون ما أحلَّ الله فتحرِّمونه، ويحلُّون ما حرَّم الله فتحلُّونه؟ قال: قلت: بلى! قال: فتلك عبادتهم

Maksudnya: Daripada ‘Adi bin Hatim r.a kata beliau: “Aku datang kepada Rasulullah s.a.w (untuk memeluk Islam) sedangkan di leherku ada Salib daripada emas seraya baginda bersabda: “Wahai ‘Adi, buanglah berhala ini daripada lehermu”. Kata Adi: Maka aku membuangnya.  Aku mendekat kepada baginda sedangkan baginda membaca Surah al-Bara-ah lalu baginda membaca ayat ini [Ayat ke-31]. Kata ‘Adi: Aku berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami tidak lah menyembah mereka”. Lantas kata baginda: “Bukankah mereka mengharamkan apa yang ALLAH halalkan lalu kamu turut mengharamkannya, mereka menghalalkan apa yang ALLAH haramkan lalu kamu turut menghalalkannya?” Kata ‘Adi: Jawabku: Bahkan (demikianlah yang kami lakukan). Sabda baginda s.a.w: “Itulah bentuk peribadatan terhadap mereka”. [HR al-Tarmizi, al-Tabrani, dll].

Telah sepakat pula Ulama’ Tafsir keseluruhannya bahawa yang dimaksudkan dengan peribadatan terhadap Ulama’ dan Ahli Ibadat dalam ayat ini adalah perbuatan memberikan mereka hak Tasyri’ dalam menghalalkan dan mengharamkan dan mentaati mereka dalam perkara maksiat. [Rujuk: Tafsir Ibn Abi Hatim, 6/1784].

Kata Saidina Abdullah bin Abbas r.huma:

إِنَّهُمُ اتَّبَعُوهُمْ فِيمَا حَلَّلُوا وَحَرَّمُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka mengikut mereka (Ulama’ dan Ahli Ibadat) dalam apa sahaja yang mereka halalkan dan haramkan”. [Tafsir al-Quran al-Azim, Ibn Katsir, 4/135].
Demikian juga tsabit riwayat daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a apabila ditanya berkenaan ayat ini beliau berkata:

“Adapun mereka sesungguhnya tidaklah berpuasa untuk mereka dan tidak pula solat untuk mereka tetapi adalah mereka itu apabila mereka (para Ulama’) menghalalkan kepada mereka sesuatu lalu mereka menghalalkannya, dan jika mereka mengharamkannya atas mereka sesuatu maka mereka mengharamkannya, maka itulah dia yang dikatakan menjadikan mereka sebagai sembahan”. [Al-Tabari, 14/211]

Ketiga: Firman ALLAH s.w.t dalam surah alFurqan ayat ke-43:

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا

Maksudnya: “Apakah kamu tidak melihat orang yang menjadikan sembahannya adalah hawa nafsunya, apakah kamu (wahai Rasul) boleh menjadi pengawalnya (daripada bertindak bodoh seperti itu)?”

ALLAH s.w.t mencela mereka yang menjadikan akal dan hawa nafsu sebagai penentu agamanya dan dalam membuat hukum tanpa merujuk kepada Kitab ALLAH dan Sunnah RAsulullah s.a.w. Kata Imam Ibn Katsir r.h:

أَيْ: مَهْمَا اسْتَحْسَنَ مِنْ شَيْءٍ وَرَآهُ حَسَنًا فِي هَوَى نَفْسِهِ، كَانَ دينَه ومذهبَه

Maksudnya: “Yakni: Apa sahaja yang dia rasakan baik dan Nampak elok pada hawa nafsunya maka itulah yang menjadi agama dan mazhab pegangannya”. [6/113]
Ayat-ayat celaan ini menunjukkan bahawa perbuatan menjadikan selain ALLAH dan Rasul s.a.w sebagai pembuat hukum dan mengikut hukum selain daripada apa yang ALLAH dan Rasul-Nya sudah tetapkan adalah Maksiat dan boleh membawa pelakunya kepada Syirik.
Namun, keadaan Umat Islam hari ini menzahirkan bahawa mereka semakin jauh daripada hukum ALLAH dan Rasul-Nya, mereka menjadikan makhluk-makhluk sebagai sumber hukum dan meninggalkan Wahyu ALLAH di belakang dan hal ini dapat kita lihat dalam beberapa fenomena berikut:

Pertama: Taklid Buta dan Fanatik Mazhab

Sikap Taklid Buta dan Fanatik Mazhab walaupun mazhabnya itu berlawanan dengan nas wahyu yang sahih lagi sarih jelas menepati cirri-ciri kaum Yahudi dan Nasrani yang ALLAH cela dalam ayat ke-31 Surah al-Taubah (al-Bara-ah), mereka menghalalkan apa yang ALLAH dan RasulNya haramkan kerana ada qaul atau mazhab Ulama’ tertentu, mereka mensyariatkan amalan-amalan yang bukan Syariat kerana Ulama’ sekian, ‘Alim sekian, tok guru sekian berkata ianya harus atau sunat atau wajib atau lainnya.

Para Ulama’ kaum Muslimin telah bersepakat bahawa Taklid secara membuta tuli dan Taksub kepada pendapat Mazhab yang jelas berlawanan dengan dalil adalah tercela dan haram sebagaimana kata Imam al-Syafii r.h:

أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى أَنَّ مَنْ اسْتَبَانَتْ لَهُ سُنَّةُ رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – لَمْ يَكُنْ لَهُ أَنْ يَدَعَهَا لِقَوْلِ أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ

Maksudnya: “Kaum Muslimin telah bersepakat bahawa wajib atas sesiapa yang jelas baginya Sunnah Rasulullah s.a.w maka tidak boleh baginya untuk meninggalkannya kerana perkataan sesiapa pun daripada manusia lain”. [I'lam al-Muwaqqi'ien, Ibn al-Qayyim, 1/6].

Adapun perkataan Ulama’ : “Tidak ada pengingkaran dalam Masalah ijtihad” maka ini adalah khusus dalam masalah-masalah yang dibina atas ijtihad yang tiada padanya nas yang muktamad lagi sahih dan jelas, adapun apabila telah jelas dalil maka wajib mengikut dalil dan haram mengikut pendapat Ulama’.

Kata Imam al-Auz’ie r.h [w.157 H]:

مَنْ أَخَذَ بِنَوَادِرِ الْعُلَمَاءِ خَرَجَ مِنَ الْإِسْلَامِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengambil pendapat-pendapat Ulama’ yang nadir (janggal) maka dia telah terkeluar daripada Islam”. [Atsar dikeluarkan oleh: Al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, no.20918].

قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: ” وَيْلٌ لِلْأَتْبَاعِ مِنْ زَلَّةِ الْعَالِمِ، قِيلَ: وَكَيْفَ ذَلِكَ؟ قَالَ: يَقُولُ الْعَالِمُ الشَّيْءَ بِرَأْيِهِ فَيَلْقَى مَنْ هُوَ أَعْلَمُ مِنْهُ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْهُ فَيُخْبِرُهُ وَيرْجِعُ، وَيَقْضِي الْأَتْبَاعُ بِمَا حَكَمَ “

Maksudnya: Berkata Ibn ‘Abbas r.huma: “Kecelakaanlah bagi para pengikut dek kerana kesilapan orang ‘alim”. Dikatakan kepada beliau: “Bagaimanakah itu (boleh berlaku)?” Kata beliau: “Seorang ‘alim berpendapat dalam suatu masalah dengan pandangan (ijtihad)nya lalu dia bertemu dengan orang yang lebih berilmu daripadanya dengan (Sunnah) Rasulullah s.a.w lalu dia memberitahu kepada (alim itu) lalu dia (alim itu) kembali menarik pendapatnya (yang menyelisihi Sunnah) tetapi para pengikut terus berhukum dengan hukum yang terdahulu (yang menyelisihi Sunnah)”. [Al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, no.836].

عَنْ زِيَادِ بْنِ جُبَيْرٍ، قَالَ: قَالَ عُمَرُ: «هَلْ تَدْرِي مَا يَهْدِمُ الإِسْلامَ؟» قُلْتُ: لَا، قَالَ: «يَهْدِمُهُ زَلَّةُ الْعَالِمِ، وَجِدَالُ الْمُنَافِقِ بِالْكِتَابِ، وَحُكْمُ الأَئِمَّةِ الْمُضِلِّينَ»

Maksudnya: Daripada Ziyad bin Jubair r.h kata beliau: Berkata Umar r.a: “Adakah kamu tahu apakah yang akan merosakkan Islam?” Kataku: Tidak. Kata beliau: “Akan merosakkannya kegelinciran ‘alim, Jidal (perdebatan) kaum Munafiq dengan (menjadikan dalilnya) adalah al-Kitab (al-Quran), dan hukum yang dikeluarkan oleh Imam-imam (tokoh-tokoh ikutan) yang menyesatkan”. [Syarhus Sunnah, al-Baghawi, 1/317].

Maka pada dewasa ini, kita dapat menyaksikan berapa ramai Umat Islam yang terus taksub dan fanatik dengan Akidah al-Asya’irah sedangkan Akidah itu sendiri telah diakui berlawanan dengan pegangan Imam yang mereka sangka mereka ikuti iaitu: Imam Abul Hasan al-Asy’ari r.h, bahkan tokoh-tokoh terkemudian al-Asya’irah sendiri ramai yang menyatakan penyesalan mereka dan menarik balik fatwa-fatwa mereka yang berlawanan dengan al-Quran dan al-Sunnah tetapi pengikut-pengikut masih lagi fanatic dan mempertahankannya.

Demikian juga mereka yang taksub dengan mazhab-mazhab Fiqh yang terus berusaha mencari dan mereka-reka dalih untuk membenarkan mazhab mereka walaupun jelas terdapat nas yang menyalahi pendapat Imam mereka.

Tindakan pengikut ini adalah sebenarnya menjadikan Ulama’-ulama’ mereka sebagai sembahan selain ALLAH s.w.t dan lebih teruk di akhirat nanti para ikutan mereka ini akan berlepas diri di hadapan ALLAH s.w.t daripada dakwaan mereka sebagaimana ALLAH s.w.t berfirman:

إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا وَرَأَوُا الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الْأَسْبَابُ

Maksudnya: “Ketika mana mereka yang diikut berlepas diri daripada mereka yang mengikut dan mereka telah melihat azab dan terputuslah antara mereka kasih sayang”. [al-Baqarah: 166].

Kedua: Mendahulukan Akal atas Wahyu.

Akal adalah makhluk yang ALLAH ciptakan dan setiap makhluk itu sifat zatnya adalah “faqir” memerlukan bimbingan, hidayah, dan taufiq daripada ALLAH s.w.t sedangkan hidayah dan taufiq ALLAH itu diketahui melalui Kalam-Nya iaitu al-Qur’an dan apa yang Dia wahyukan kepada Rasulullah s.a.w melalui Al-Sunnah.

Maka perbuatan mendahulukan akal dan mengikut apa yang disangka akal sebagai baik tanpa menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai kayu ukurnya adalah jelas termasuk dalam amalan mereka yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ILAH yang ALLAH cela dalam Surah al-Furqan ayat ke-43.

Perbuatan mendahulukan pandangan akal atas Wahyu adalah perbuatan Iblis –laknat ALLAH ke atasnya tidak henti-henti- apabila dia berkata:

قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ

Maksudnya: “Berkata Iblis: Aku lebih baik daripadanya (Adam) Engkau ciptakan aku daripada api sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah”. [Sod: 76]

Sedangkan ini hanyalah sangkaan yang salah dan Qiyas yang Fasad, ALLAH mencipta apa yang Dia kehendaki dan Dia memilih apa yang Dia kehendaki maka Dia afdalkan Adam yang dicipta dari Tanah daripada Iblis yang dicipta daripada Api.

Kata Saidina Sahl bin Hanif r.a:

اتَّهِمُوا الرَّأْيَ، فَلَقَدْ رَأَيْتُنِي يَوْمَ أَبِي جَنْدَلٍ وَلَوْ أَسْتَطِيعُ أَنْ أَرُدَّ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمْرَهُ لَرَدَدْتُ، وَاللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ

Maksudnya: “Tohmahlah pendapat akal, aku telah melihat keadaan diriku pada hari Abu Jandal (hari perjanjian Hudaibiah) jika aku mampun untuk menolak keputusan Rasulullah s.a.w sudah tentu aku tolak sedangkan ALLAH dan RasulNya lebih mengetahui…” [HR al-Bukhari].

Demikian juga diriwayatkan ucapan yang sama daripada Umar bin al-Khattab r.a di mana para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim amat terkejut dengan keputusan Rasulullah s.a.w untuk tidak menyelamatkan Abu Jandal r.a dan mengembalikan kepada Ayahnya Suhail dan dengan isi perjanjian Hudaibiah yang kelihatan pada luarannya membawa kerugian Umat Islam, namun ALLAH s.w.t menamakan apa yang berlaku sebgai Al-Fathul Mubin (Kemenangan Yang Nyata):

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا

Maksudnya: “Sesungguhnya KAMI telah memberikan kepada kamu (wahai Rasul) akan kemenangan yang nyata”. [al-Fath: 1].

Maksud pembukaan yang nyata ini adalah Perjanjian Hudaibiah [Rujuk: Tafsir al-Tabari]. Dan ternyata hasil perjanjian Hudaibiah ini merupakan kemenangan yang besar bagi Islam dan Umatnya yang berakhir dengan pembukaan Makkah dan tersebarnya Islam di luar daripada Jazirah Arab.

Kata Saidina Ali r.a:

لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْيِ لَكَانَ أَسْفَلُ الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ، وَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ عَلَى ظَاهِرِ خُفَّيْهِ

Maksudnya: “Jika agama ini dibina berdasarkan pandangan akal maka tentulah bahagian bawah khuf lebih utama untuk disapu daripada atasnya, namun aku melihat Rasulullah s.a.w menyapu bahagian atas kedua khuf baginda”. [HR Abu Daud].

Kata ‘Allamah Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah r.h [w.751 H]:

ومن اعترض على الكتاب والسنة بنوع تأويل من قياس أو ذوق أو عقل أو حال ففيه شبه من الخوارج أتباع ذي الخويصرة

Maksudnya: “dan barangsiapa yang menentang al-Kitab dan al-Sunnah dengan apa-apa jenis Takwil sama ada Qiyas atau Zauq (perasaan-perasaan hati), Akal, atau keadaan maka padanya terdapat kesamaan dengan Khawarij pengikut Zul Khuwaisirah”. [Al-Sawa'iq al-Mursalah, 1/308].

Menjadi suatu kewajipan atas seorang Mukmin dan Mukminah untuk mendahulukan wahyu atas pandangan-pandangan akal dan hawa nafsunya, emosi dan perasaan jiwanya, bahkan mendahului kemaslahatan peribadi dan keadaan semasa.

Namun, dewasa ini lebih banyak Umat Islam yang mendahulukan pandangan akal dan ijtihad peribadi, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal atas dasar Maslahat, Maqasid, Tajribah (cubaan) dan lainnya.

Sesuatu perkara jika pada pandangan akal atau atas cubaan ia membawa manfaat dan ada kemaslahatan tidak bermakna bahawa Syarak membenar dan mengizinkannya, mengetahui sesuatu perkara itu baik atau buruk memang banyak caranya dengan fikir, pandang, rasa, dan kaji tetapi untuk mengetahui sama ada benda itu boleh atau tidak pada Syarak maka hanya ada dua sahaja kayu ukurnya: Al-Quran dan Al-Sunnah yang Sahihah.

Sesuatu perkara jika ada maslahah dan kebaikan maka tidak semestinya syarak akan membenarkannya kerana tidak semua maslahah diambil kira, di sana ada Maslahah yang Mulghah (Tidak diambil kira) oleh Syarak sebagaimana firman ALLAH berkenaan dengan Arak dan Judi:

فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Maksudnya: “Pada keduanya (Arak dan Judi) itu terdapat keburukan yang besar dan terdapat juga manfaat-manfaat bagi manusia namun keburukan keduanya itu lebih besar dari kemanfaatan keduanya”. [Al-Baqarah: 219].

Demikian juga ada sesetengah perkara yang pada sangkaan manusia logik pada akal sebenarnya hanyalah Khayalan yang Tidak mungkin wujud, dan ada perkara yang pada sangkaan akal sesetengah manusia tidak logic tetapi sebenarnya akalnya yang rosak berlawanan dengan fitrah dan akal lain yang sihat.

Ketiga: Demokrasi dan Sistem-sistem Kufur

Dunia Islam hari ini sering diasak untuk melaksanakan Demokrasi dan Umat Islam hari ini sanggup bermandi darah untuk memperjuangkan Demokrasi tanpa mereka sedari Demokrasi adalah Syirik Akbar (Besar) yang menjadikan orang yang beriktiqad dengannya terkeluar daripada Islam –nauzubillah min zalik-.

Jauhar atau inti pati Demokrasi adalah: “Pemerintahan dari Rakyat, untuk Rakyat, oleh Rakyat” berlawanan dengan kehendak Islam di mana Negara Islam adalah: “Dari ALLAH untuk ALLAH kerana ALLAH dengan hukum ALLAH”.

مَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِهِ إِلَّا أَسْمَاءً سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. [Yusuf: 40]

Demokrasi atau apa yang disebut sekarang sebagai: “Kuasa Rakyat” adalah kekufuran yang sama melanda kaum Yahudi dan Nasrani apabila mereka menjadikan suara majority sebagai asas dalam semua perkara termasuk dalam pembentukan akidah mereka di perhimpunan-perhimpunan Gereja (al-Majami’ al-Maskoniah).

Dengan Kuasa Rakyat dan Kehendak Rakyat, kaum Kafir Nasrani dan Yahudi menghalalkan apa yang haram dan mengharamkan apa yang halal sebagaimana kita dapat saksikan di USA, UK, Rusia, dan lainnya.

Hari ini Umat Islam mengikut jejak langkah Umat sebelum mereka ini dan melaungkan slogan kufur yang sama dengan Umat-umat sebelum mereka yang telah dihukum musnah dan celaka oleh ALLAH di dunia dan akhirat –nauzubillah min zalik-.

Demikian juga sistem-sistem kufur lainnya seperti Kapitalis, Sosialis, Sekularisme, Liberalisme, yang semuanya berpaksi kepada mempertuhankan hawa nafsu dan menghalalkan apa yang ALLAH haramkan dan mengharamkan apa yang ALLAH halalkan.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بَاعًا بِبَاعٍ، وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، وَشِبْرًا بِشِبْرٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَدَخَلْتُمْ فِيهِ» ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ، وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: «فَمَنْ إِذًا»

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a kata beliau: Bersabda Rasulullah s.a.w: “Kamu akan mengikut jejak langkah orang sebelum kamu sedepa demi sedepa, sehasta demi sehasta, dan sejengkal demi sejengkal, sehingga jika mereka masuk lubang biawak sekalipun maka kamu akan masuk ke dalamnya”. Mereka (para Sahabat) berkata: “wahai Rasulullah, adakah tuan maksudkan (dengan orang sebelum kamu) adalah Yahudi dan Nasrani?” Jawab baginda: “Jika bukan itu siapa lagi?” [HR Al-Bukhari, Ibn Majah, Ahmad dll, lafaz dlm Ibn Majah].

Hadis di atas merupakan khabar yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w akan apa yang dilakukan Umat baginda di akhir zaman dan tujuan baginda mengkhabarkan perkara ini yang tentunya baginda peroleh menerusi wahyu daripada ALLAH yang Maha Mengetahui supaya kita berhati-hati jangan sampai terjebak dengan perlakuan sebahagian kaum Fasiq yang meniru gaya hidup kaum kafir.

Hukum Mereka Yang Taat kepada Makhluk dalam Perkara yang Menyelisihi Syarak:

Para Ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah telah merincikan masalah mereka yang mentaati makhluk dalam perkara maksiat sebagai berikut:

1- Mentaati perintah yang maksiat dalam menghalal dan mengharamkan dengan iktiqad bahawa yang diikutinya itu memang mempunyai hak Tasyri’ serta reda dengan hukum mereka itu mendahulukannya atas hukum ALLAH dan Rasul-Nya, maka ini adalah Syirik Akbar menjadikan pelakunya Murtad –nauzubillah min zalik-.

2- Mentaati perintah yang maksiat kerana hawa nafsu namun masih beriktiqad bahawa hak tasyri’ adalah milik ALLAH sahaja dan hukum ALLAH adalah yang benar. Maka hukumnya adalah Mukmin yang Berdosa (Fasiq Milli).

3- Mentaati perintah yang maksiat atas sangkaan bahawa itu adalah benar dan itulah hukum ALLAH (yakni Jahil). Maka jenis yang ketiga ini tidak lepas daripada dua keadaan:

i- Dia mampu belajar dan mencari kebenaran atau dijelaskan kepadanya kebenaran tetapi dia ingkar mendengarnya maka dia berdosa dan sama seperti jenis yang kedua.

ii- Tidak mampu belajar atau tiada yang mampu mengajarkannya, maka ALLAH itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani kepada hamba-hambaNya, Dia tidak membebankan mereka melebihi dari kemampuan mereka, maka jenis ini diberi keuzuran.

Wallahul Muwaffiq.

17 Safar 1433 H, Madinah Nabawiah, Arab Saudi.